Berita UtamaUtama

ICERD: ‘Tiada siapa mahu gadai prinsip negara’

Mujahid akan bawa hasil pertemuan kepada pihak berwajib

BANGI, 30 Safar 1440H, Khamis – Satu pertemuan telah diadakan di antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dengan beberapa pihak bagi membincangkan isu mengenai Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Mujahid berkata, pertemuan bersama 34 orang yang mewakili 10 NGO Islam, mahasiswa, ahli akademik dan peguam itu berlangsung secara harmoni, menerusi perbincangan yang diadakan kira-kira tiga jam di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Beliau berkata, semua pihak melontarkan pandangan dan cadangan, termasuk kebimbangan sekiranya Malaysia meratifikasi ICERD.

“Saya mendengar dengan teliti dan amat menghargai segala input yang diberi oleh semua pihak yang hadir pada malam tadi.

“Antara rumusan yang boleh saya buat berhubung pertemuan malam tadi ialah, tiada sesiapa mahu menggadaikan prinsip negara serta menjejaskan agama Islam sebagai identiti negara ini,” katanya.

Selaku menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam, Mujahid berkata, hasil pertemuan itu akan dibawa kepada pihak berwajib supaya penelitian dapat dilakukan.

“Ia selari dengan pendirian Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar rundingan dilakukan terlebih dahulu sebelum menandatangani ICERD,” katanya.

Terdahulu, Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, pertemuan bersama Mujahid hanya bersifat sehala, malah menteri berkenaan berpendirian mendengar tanpa memberikan sebarang interaksi dua hala dalam perbincangan itu.

“YB Menteri mengambil pendirian untuk hanya mencatat tetapi tidak berdialog dengan NGO Islam yang membantah ICERD atau menyokongnya.

“Rumusannya ialah pertemuan malam tadi adalah input satu hala kepada YB Menteri sahaja, tanpa mendengar pandangan YB Menteri sendiri seperti dilapor media,” kata Zainul Rijal.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy menyatakan kerajaan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.

Komitmen itu turut diberikan oleh Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mujahid Rawa dan diperkukuhkan lagi oleh kenyataan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung PBB baru-baru ini.

ICERD adalah salah satu konvensyen antarabangsa hak asasi manusia yang telah berkuatkuasa dari tahun 1969, di mana negara yang meratifikasinya hendaklah menghapuskan segala bentuk diskriminasi bangsa dan kaum.

Untuk makluman, Artikel 5 (d) (vii) ICERD antara lain menyebut bahawa negara yang menandatangani konvensyen ini hendaklah menghapuskan semua bentuk diskriminasi kaum dan menjamin hak semua orang untuk kebebasan berfikir dan beragama.

BERITA BERKAITAN:

ICERD: Mujahid hanya dengar pandangan tanpa berdialog

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close