Uncategorized

Pencapaian orang Melayu masih jauh tertinggal, hanya 18 peratus kuasai ekonomi nasional

Pemimpin Melayu yang gagal perkasa orang Melayu masih galak berpolitik

BANGI, 2 Safar 1445H, Sabtu – Pencapaian orang Melayu dalam konteks sosiopolitik perlu diakui masih belum menampakkan kejayaan yang membanggakan.

Walaupun 63 peratus daripada populasi Malaysia adalah orang Melayu, tetapi masih gagal bersatu di bawah satu ideologi atau prinsip.

Bahkan, orang Melayu berpecah dan hilang haluan politik akibat bersengketa sesama sendiri. Tidak seperti parti lain, walaupun berbeza kaedah tetapi memiliki prinsip, matlamat dan falsafah perjuangan sama.

Prof Madya Dr Mohd Azhar Abd Hamid dan Datuk Prof Kassim Thukiman berkata, jika kedudukan orang Melayu dinilai berdasarkan pencapaian sosioekonomi, secara kuantiti pencapaiannya lebih baik berbanding Dasar Ekonomi Baru (DEB) diperkenalkan pada 1970.

Namun, sekiranya dinilai dari segi kualiti, ternyata pencapaian orang Melayu masih jauh tertinggal dengan orang bukan Melayu dalam banyak hal.

“Sasaran ditetapkan pada 1970, orang Melayu menguasai 30 peratus ekuiti ekonomi nasional tetapi selepas lebih lima dekad hanya 18 peratus mampu dicapai,” katanya menulis di rencana disiarkan Berita Harian.

Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial Universiti Teknologi Malaysia itu berkata, berdasarkan kajian Emir Research, negara kerugian RM4.5 trilion sejak 26 tahun lalu akibat rasuah dan penyelewengan.

Tegasnya, ini suatu jumlah sangat besar dan mesti dihentikan segera, malangnya pemimpin Melayu yang gagal memperkasa orang Melayu ini masih galak berpolitik.

“Masing-masing tidak berasa malu, selepas enam dekad merancang dan melaksanakan untuk memperkasa sosioekonomi, sosiopolitik dan sosiobudaya orang Melayu, tetapi masih gagal mencapainya.

“Sebaliknya, setiap kali menjelang pilihan raya, semua parti berasas kaum ini gegak-gempita mencanangkan pelbagai janji bagi memartabatkan perjuangan kaum Melayu.

“Mereka tanpa segan silu mendabik dada sebagai pejuang tulen Melayu sambil ‘menghunus keris’ sedangkan masih ramai orang Melayu hidup miskin, tidak berumah, berpendapatan rendah, simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) rendah, ketagihan dadah dan anak muda tidak minat melanjutkan pelajaran,” katanya.

Justeru, literasi politik amat penting kepada rakyat Malaysia, terutama Melayu supaya lebih bijaksana menilai dan membuat pilihan.

“Literasi politik akan menguntungkan rakyat apabila rakyat ‘celik politik’ dan sedia menunjukkan jalan keluar kepada pemimpin dan parti tidak jujur atau tidak berintegriti dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button