Berita Utama

ICERD: Mujahid hanya dengar pandangan tanpa berdialog

Pertemuan NGO, menteri agama hanya bersifat sehala: Zainul Rijal

BANGI, 30 Safar 1440H, Khamis – Pertemuan di antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam bagi membincangkan isu berkaitan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) semalam, hanya bersifat satu hala.

Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata, Mujahid mengambil pendirian untuk hanya mencatat input perbincangan, tanpa berdialog dengan wakil NGO yang hadir.

Beliau merumuskan bahawa pertemuan pertama kali diadakan itu hanya bersifat input satu hala kepada Mujahid sahaja, tanpa mendengar sebarang pandangan dan interaksi dua hala daripada menteri itu.

“Pertemuan ini adalah permintaan beberapa NGO kepada YB Menteri setelah beliau meminta mereka yang tidak faham tentang ICERD berjumpa beliau.

“Harapan kami agar dapat mendengar sendiri pendirian YB Menteri dan kemudiannya bertukar pandangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Zainul Rijal berkata, dalam pertemuan itu, Mujahid memberi jaminan bahawa sebarang tindakan kerajaan tidak akan menjejaskan kepentingan orang Melayu, Islam dan institusi Raja-Raja.

Malah katanya, menteri agama itu juga menafikan dakwaan wujud had masa yang ditetapkan kerajaan untuk meratifikasi ICERD, walaupun ada menteri yang berkata demikian.

“YB Menteri mengalu-alukan perbincangan dengan stakeholders dan pertemuan semalam adalah pertemuan besar pertama diadakan dengan NGO Islam dengan beliau.

“Oleh kerana pertemuan ini adalah pertemuan tertutup saya tidak dapat mendedahkan apa yang disuarakan oleh peserta secara terperinci,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata, secara umum majoriti wakil yang hadir semalam tidak bersetuju ICERD ditandatangani atau diratifikasi, dan daripada 20 yang berucap hanya lima menyokong, manakala selebihnya menolak.

Zainul Rijal berkata, selain mendengar ucapan daripada Mujahid dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), wakil Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) turut berucap dalam pertemuan berkenaan.

“Ucapan wakil Suhakam sangat mengejutkan kerana seolah memberi amaran kepada kami dan sudah hilang hak asasi manusia untuk menyatakan pendirian kami dan seolah terus menghukum NGO Islam ingin memecah perpaduan dan tidak bertamadun.

“Suhakam mahukan kerajaan menandatangani dan ratifikasi ICERD,” katanya.

Zainul Rijal berkata, secara umumnya semua wakil yang hadir bersetuju terhadap sebarang tindakan yang tidak boleh menghakis hak orang Melayu, kedudukan istimewa Islam dan Raja-Raja Melayu.

“Walau apapun ini permulaan yang baik NGO Islam diberi ruang untuk memberi pandangan. NGO Islam alu-alukan pertemuan sebegini pada masa akan datang.

“Terima kasih kerana memberi peluang ini dan iniasiatif ini boleh dipertingkat dari semasa ke semasa,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close