Berita UtamaUtama

Peribumi akan hilang pemilikan tanah?

Kerajaan diminta tak tergesa-gesa jual tanah kepada pembida tertinggi

BANGI, 29 Safar 1440H, Rabu – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana mempersoal langkah kerajaan yang akan melaksanakan penjualan tanah secara berjadual dan berperingkat kepada pembida tertinggi bagi memaksimumkan hasil kerajaan.

Presiden Isma, Haji Aminuddin Yahaya membayangkan pembida tertinggi yang dimaksudkan oleh kerajaan itu adalah masyarakat Cina atau lebih teruk lagi warga asing.

Katanya, mengikut kemampuan orang Melayu sudah pasti mereka tidak akan mendapat apa-apa pemilikan, memandangkan mereka yang kaya dan berkemampuan untuk membeli tanah itu terdiri dalam kalangan orang Cina.

Malah katanya, warga asing juga lebih kaya dan mampu menawarkan harga yang lebih tinggi untuk membeli tanah berkenaan.

“Adakah akhirnya negara ini akan menjadi milik orang Cina sahaja atau warga asing? Apa akan jadi pada orang Melayu? Kita tidak pasti bagaimana cara tanah ini akan dijual.

“Apa-apa pun kerajaan seharusnya tidak begitu mudah untuk menjual tanah kerana sekali ia dipindah ke pihak lain maka sukar untuk kita mendapatkan semula,” katanya menulis dalam Facebook beliau, hari ini.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2019 baru-baru ini, kerajaan merancang melaksanakan penjualan tanah secara berjadual dan berperingkat kepada pembida tertinggi bagi memaksimumkan hasil kepada kerajaan.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, pemilikan hartanah komersial orang Melayu sekarang ini hanya tinggal dua peratus daripada 500,000 ekar tanah manakala tanah rizab Melayu pula tinggal 1.3 juta hektar dari 9 juta hektar pada asalnya.

“Adakah dengan penjualan tanah ini nanti akan menyebabkan milikan peribumi akan terus lenyap? Tanah Palestin bermula sebegini sehingga penduduk di sana sudah tidak ada milikan tanah lalu terpaksa merempat di negara sendiri,” katanya.

Justeru, Aminuddin berkata, kerajaan perlu memberi penjelasan terperinci supaya rakyat boleh menilai sama ada transaksi itu betul atau salah.

Pada masa sama, beliau berkata, rakyat juga berharap kerajaan tidak tergesa-gesa untuk menjual tanah ini sebaliknya mencari sumber-sumber lain untuk menambah pendapatan.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close