Berita UtamaDuniaUtama

Negara Barat desak China tutup kem tahanan Uyghur

Kebanyakan negara Islam tidak bersuara kritik kem pengasingan Xinjiang

GENEVA, 29 Safar 1440H, Rabu – Negara-negara Barat termasuk Perancis, Jerman dan Amerika Syarikat (AS) mendesak China menutup kem tahanan khas yang menempatkan etnik muslim Uyghur, dalam semakan berkala hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, semalam.

Bagaimanapun, China menerusi Timbalan Menteri Luar Negeri, Le Yucheng menolak desakan dan kritikan itu, sekali gus menyifatkan tuduhan negara-negara berkenaan tidak berasas dan bercanggah dengan fakta.

“Kami tidak akan menerima tuduhan yang didorong oleh politik dari beberapa negara yang bersikap berat sebelah dan tidak mengambil peduli mengenai fakta.

“Kemudahan itu adalah sebahagian usaha memerangi keganasan, pelampau agama dan pemisahan di Xinjiang,” katanya.

Kesemua 193 negara anggota PBB perlu menjalani satu semakan berkala oleh Majlis Hak Asasi Manusia PBB di Geneva.

Pada forum perbahasan semalam, Kanada, AS dan Jerman mendesak China menghentikan penindasan ke atas umat Islam serta memansuhkan semua bentuk penahanan termasuk kem pengasingan di wilayah Xinjiang.

“China perlu menamatkan pendakwaan dan penganiayaan atas dasar agama atau kepercayaan,” kata Timbalan Wakil Tetap Kanada ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Tamara Mawhinney.

Kritikan yang disuarakan negara-negara terbabit tenggelam apabila kebanyakan negara anggota lain memuji pencapaian dan prestasi China.

Malah, kebanyakan negara Islam, termasuk Malaysia, Indonesia, Pakistan dan Kuwait turut tidak bersuara mengkritik negara ekonomi kedua terbesar itu berhubung isu kem pengasingan Xinjiang.

“Malaysia memuji pendekatan strategik China dalam memastikan kesejahteraan penduduk, selain menyatakan bahawa negara itu menunjukkan pencapaian yang baik dalam hak asasi manusia.

“Kuwait pula mencadangkan Beijing fokus kepada isu remaja untuk menjamin kesihatan fizikal dan psikologi mereka. Arab Saudi mencadangkan China meneruskan amalan silang budaya dan agama,” lapor The Globe and Mail.

Namun, hanya Turki yang lantang menentang dasar China yang melibatkan sekatan ke atas hak dan kebebasan asas, seperti pengasingan individu tanpa alasan undang-undang, dan pemisahan mereka daripada keluarga dan masyarakat.- Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close