Berita UtamaUtama

Mujahid akui Bible turut diedar kepada pelajar Melayu

Polis akan ambil keterangan pelajar, pengetua sekolah hari ini

PUTRAJAYA, 29 Safar 1440H, Rabu – Kegiatan pihak tertentu yang mengedar kitab Bible di hadapan sebuah sekolah menengah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang baru-baru ini, turut melibatkan edaran kepada pelajar Melayu, kata Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut mengakui kegiatan mengedar kitab Bible berkenaan dilakukan oleh wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Perkara ini jelas menimbulkan kontroversi sebab daripada maklumat yang kita dapat ada juga yang diberikan kepada orang Melayu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan seorang peserta program Town Hall Maqasid: Tadbir Urus Maqasid Syariah di sini hari ini yang bertanyakan isu edaran kitab Bible berkenaan.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, ketika ini pihaknya masih menunggu maklumat lanjut berhubung kejadian itu dan difahamkan polis akan mengambil keterangan pelajar dan pengetua sekolah terbabit hari ini.

Sebelum ini, tular di media sosial beberapa gambar yang memaparkan kegiatan pihak tertentu mengedar kitab Bible kepada pelajar di hadapan sebuah sekolah menengah di Pulau Pinang.

Mujahid dilaporkan berkata, beliau telah mendapatkan penjelasan daripada Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Jabatan Pendidikan negeri dan ahli Parlimen Bukit Mertajam, sebaik sahaja perkara itu tersebar.

Katanya, pihak yang berbuat demikian dipercayai wakil daripada NGO namun tidak mewakili gereja atau persatuan agama Kristian di kawasan berkenaan.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close