Berita UtamaUtama

Apakah agama, kaum lain di Malaysia selama ini merempat, ditindas?

Apa keperluan ratifikasi ICERD jika ikhlas pertahan kedudukan Islam, Bumiputera sehingga dimaktub dalam Perlembagaan: Asyraf Wajdi

BANGI, 29 Safar 1440H, Rabu – “Mereka menggambarkan agama dan bangsa lain terus didiskriminasikan jika ICERD masih tidak diratifikasi.

“Kita pula bertanya apakah selama 61 tahun, agama lain ditindas atau bangsa lain dizalimi dan hidup merempat meskipun Bumiputera dijaminkan keistimewaan mereka?”.

Itu antara persoalan pedas ditujukan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, terhadap pemimpin kaum lain, terutama Cina dan India, serta kumpulan bangsa Melayu di dalam Pakatan Harapan (PH), yang berjuang untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentik Diskriminasi Kaum (ICERD) di Malaysia.

Membidas lanjut kumpulan terbabit, beliau berkata, pihak berkenaan kini mempunyai menteri yang mampu mempengaruhi pendirian kerajaan PH, selepas UMNO hilang kuasa dan hanya mengharapkan mobilisasi massa untuk terus bersuara menyatakan bantahan.

“Mereka bersatu di luar dan dalam Parlimen dalam memperjuangkan kesamarataan hak agama dan bangsa. Kita pula berbeza pandangan di luar Parlimen dan berpecah dalam Parlimen, malah rasa serba salah mempertahankan kepentingan Islam dan keistimewaan bangsa seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan.

“Mereka mendapat dukungan dan sokongan padu pelbagai pertubuhan antarabangsa mengenai hak asasi manusia. Kita pula bagaikan jaguh kampung yang tidak berupaya melobi dan meyakinkan masyarakat antarabangsa akan keistimewaan dan keunikan negara kita yang berbilang agama dan bangsa,” katanya menulis dalam Facebook beliau, semalam.

Bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu turut menyelar kumpulan berkenaan yang menyatakan bahawa ratifikasi ICERD tidak akan membelakangi Perlembagaan dan memansuhkan Perkara 153 mengenai hak keistimewaan Bumiputera.

“Kita mempersoalkan apa keperluan meratifikasi jika ikhlas untuk terus pertahankan kedudukan Islam dan keistimewaan Bumiputera yang telah dipersetujui dalam Kontrak Sosial sehingga dimaktubkan dalam Perlembagaan.

“Mereka mendakwa rakyat yang menentang ICERD tidak faham Perlembagaan.

“Kita pula mengatakan mereka cuba mengaburi mata rakyat kerana hakikatnya Bekas Ketua Hakim Negara dan sejumlah besar peguam-peguam undang-undang antarabangsa menjelaskan bahawa ratifikasi ICERD akan menjadikan negara terikat dengan konsensus antarabangsa,” katanya.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy menyatakan kerajaan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.

Komitmen itu turut diberikan oleh Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mujahid Rawa dan diperkukuhkan lagi oleh kenyataan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung PBB baru-baru ini.

ICERD adalah salah satu konvensyen antarabangsa hak asasi manusia yang telah berkuatkuasa dari tahun 1969, di mana negara yang meratifikasinya hendaklah menghapuskan segala bentuk diskriminasi bangsa dan kaum.

Untuk makluman, Artikel 5 (d) (vii) ICERD antara lain menyebut bahawa negara yang menandatangani konvensyen ini hendaklah menghapuskan semua bentuk diskriminasi kaum dan menjamin hak semua orang untuk kebebasan berfikir dan beragama.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close