Berita Utama

MPM sokong Malaysia tak tunduk tekanan AS, tegas bersama Palestin

Sokong kezaliman Isr4el tanda hilang ketamadunan manusia sejagat

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 4 Rabiulakhir 1445H, Khamis – Majlis Perundingan Melayu (MPM) menyokong penuh kenyataan Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat (AS), Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz yang enggan tunduk dengan tekanan AS berkaitan isu Palestin.

Pengerusi Biro Politik dan Kepimpinan MPM, Shahbudin Embun berkata, pihaknya menyokong ketegasan Malaysia dalam isu Palestin yang sejak 75 tahun lalu terpaksa berdepan dasar aparteid, genosid dan penghapusan etnik dilakukan rejim Israel secara berterusan.

Beliau berkata, MPM juga mengecam AS, blok Barat, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) serta negara-negara yang menyokong Israel.

“MPM mengutuk mereka yang menyokong Israel tanpa melihat tahap kezaliman, penindasan yang dilakukan terhadap hak asasi manusia yang dilaung-laungkan mereka sebelum ini.

“Menyokong kezaliman Israel menandakan sudah hilang ketamadunan manusia sejagat. Ini kerana Israel terbukti tanpa sebarang keraguan bahawa mereka adalah negara pengganas,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Semalam, Astro Awani melaporkan, Mohamed Nazri memaklumkan dihubungi pihak Jabatan Negara Amerika Syarikat yang menyatakan rasa kurang senang Washington terhadap beberapa kenyataan keras Malaysia terhadap Israel.

Ketika ditanya pihak Jabatan Negara Amerika Syarikat adakah mungkin Malaysia akan menyatakan rasa simpati terhadap nasib rakyat Israel, Mohamed Nazri menegaskan simpati Malaysia adalah hanya untuk Palestin.

Beliau menegaskan bahawa Israel tidak perlu menjadi seolah-olah mangsa, sedangkan kekejaman mereka lebih teruk dan tidak berperikemanusiaan, dan tidak perlu juga dipersoalkan sokongan Malaysia kepada Hamas kerana gerakan itu dilantik oleh rakyat Gaza sendiri menerusi pilihan raya. 

Mohamed Nazri juga memberitahu pihak Jabatan Negara Amerika Syarikat bahawa Malaysia akan sentiasa bersolidariti dengan rakyat Palestin di Gaza dan Tebing Barat.

Tegas beliau, dalam apa juga situasi Israel yang seharusnya segera menghentikan pengeboman di Gaza dan membuka laluan koridor kemanusiaan di Rafah, Mesir.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button