Berita UtamaUtama

‘Banyak lagi sekolah daif, tapi kerajaan sibuk beri peruntukan untuk SMPC’

Tidak adil guna ‘wang rakyat’ untuk institusi tak diiktiraf Perlembagaan

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 27 Safar 1440H, Isnin – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) digesa untuk menarik balik peruntukan RM12 juta yang diberikan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), seperti yang diumumkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam pembentangan Belanjawan 2019, Jumaat lalu.

Presiden Professional Muslim Community (PMC), Hazwan Mohamad berkata, tindakan kerajaan memperuntukkan RM12 juta atau untuk SMPC, adalah sesuatu yang tidak wajar dan tidak berperlembagaan.

Walhal, katanya, lebih banyak lagi sekolah-sekolah lain yang daif memerlukan peruntukan untuk dibantu, bukannya SMPC yang ternyata sudah gah di sekitar bandar.

“Adalah satu ketidakperluan bagi kerajaan membelanjakan ‘wang rakyat’ untuk institusi yang tidak pernah diiktiraf dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai rakyat yang membayar cukai, saya mahu kerajaan menarik balik perbelanjaan wang rakyat terhadap SMPC atas justifikasi ianya tidak menepati Perlembagaan Persekutuan dan juga masih banyak lagi sekolah-sekolah daif yang memerlukan bantuan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Malah, beliau berkata, lebih menyayat hati apabila Menteri Muda Pendidikan, Penyelidikan dan Teknologi Negeri Sarawak, Dr Annuar Rapaee, mendedahkan bahawa Belanjawan 2019 tidak memberikan banyak perhatian kepada usaha mengatasi masalah sekolah daif di Sarawak.

“Sudahlah jika dibandingkan SMPC dengan sekolah di pedalaman Sabah, Sarawak, ibarat jauh panggang dari api.

“Lihat sahaja fizikal SMPC yang megah di tengah ibu kota. Apakah rakyat dipaksa untuk menanggung sekolah-sekolah yang tidak berperlembagaan ini?,” katanya.

Dalam belanjawan pertama kerajaan Pakatan Harapan, sebanyak RM60.2 bilion diperuntukkan untuk sektor pendidikan – apa yang disebut sebagai penerima terbesar dalam belanjawan 2019.

Peruntukan itu bagaimanapun dikurangkan berbanding belanjawan 2018 yang diterajui Barisan Nasional (BN) iaitu sebanyak RM61.6 bilion.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close