Berita UtamaPendapatUtama

Belanjawan 2019: ‘Rakyat sekali lagi ditipu kerajaan PH’

Sejauh mana peruntukan akan diguna untuk Syiar Islam, sedangkan rekod menteri dan Ahli Parlimen PH cenderung fahaman Islam liberal

Analisis ringkas Belanjawan 2019:

1. Secara umumnya, tiada perbezaan yang ketara antara belanjawan 2018 oleh Barisan Nasional dan juga Belanjawan 2019 oleh kerajaan Pakatan Harapan. Hutang negara sebanyak RM1 trillion yang dicanangkan, sebenarnya hanyalah RM687 billion.

2. Sepintas lalu, ada beberapa perkara yang bagus dalam Belanjawan 2019. Tetapi jika dikaji dengan lebih mendalam dan satu persatu, terbukti kerajaan PH masih konsisten dalam memperdaya rakyat, bahkan ada penyokong PH yang tertipu dan sangat kagum dengan belanjawan kali ini.

3. Dalam konteks memastikan kemajuan syiar Islam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendakwa Belanjawan kali ini lebih bagus kerana memperuntukkan RM1.2 billion berbanding RM1.1 billion pada tahun 2018. Tetapi berdasarkan peratus kepada jumlah belanjawan keseluruhan RM1.2 billion ini, hanya 0.38 peratus daripada jumlah keseluruhan belanjawan 2019, lebih rendah berbanding 2018 misalnya 0.39 peratus (RM1.1 billion) pada 2018.

Pada masa sama, sejauh mana duit ini akan digunakan sebaiknya untuk syiar Islam menjadi satu kekhuatiran. Berdasarkan “track record” menteri-menteri dan Ahli Parlimen PH yang lebih cenderung memperjuangkan fahaman islam liberal dan “rahmatan lil kafirin”.

4. Berlaku juga percanggahan pada Belanjawan kali ini. Dalam masa bantuan diberikan kepada golongan yang berpendapatan RM4,000 ke bawah, pada masa yang sama anak-anak muda yang baru hendak memulakan kehidupan terpaksa membayar balik pinjaman PTPTN jika berpendapatan lebih RM1, 000.

Daripada janji-janji manis lebih sepuluh tahun dahulu untuk menghapuskan PTPTN jika memerintah, kepada manifesto PRU14 yang hanya mewajibkan pembayaran balik PTPTN untuk yangg bergaji lebih RM4,000, sekarang pula perlu bayar jika bergaji lebih RM1,000. Nampaknya apabila diulit dengan gaji berpuluh ribu sebulan, para menteri PH pun sudah lupa beban dan kesempitan hidup yang dirasai rakyat.

5. Dalam konteks pendidikan, satu perkara yang begitu “glaring” apabila peruntukan sebanyak RM12 juta diberikan kepada SMPC. Telah hilang maruah kerajaan PH gamaknya – sudahlah SMPC ini ditubuhkan kerana mereka tidak mahu tunduk kepada dasar pendidikan negara, malah diberi bantuan kewangan lagi oleh kerajaan.

Yang lebih malang, peruntukan RM12 juta ini disedut daripada jumlah peruntukan kepada sekolah agama dan sekolah pondok dalam Belanjawan 2018. Inikah “rahmatan lil alamin” yang mahu diperjuangkan oleh puak Islamis PH?

6. Pendekatan kerajaan dalam mendapatkan pendapatan untuk membiayai Belanjawan 2019 juga sangat membimbangkan, dan menunjukkan ketidakmatangan kerajaan PH dalam menguruskan negara. Malah jika dibiarkan, kesan buruknya mungkin lebih mudharat berbanding skandal 1MDB.

  • Contoh paling jelas adalah apabila syarikat minyak negara, PETRONAS, dipergunakan untuk membiayai Belanjawan.
  • Jumlah dividen sebanyak RM54 billion (sumber akhbar The Star), termasuk dividen khas RM30 bilion, adalah satu angka yang begitu besar yang dikhuatiri menjejaskan pelaburan jangka masa panjang PETRONAS dan seterusnya daya saing syarikat tersebut dalam industri minyak dan gas.
  • Bekas CEO PETRONAS, Tan Sri Hasan Marican, pernah memberi amaran terhadap usaha kerajaan yang terlalu bergantung kepada hasil minyak negara, yang mana pelbagai usaha telah dilakukan untuk mengurangkan kebergantungan ini sejak beberapa tahun lepas – dividen PETRONAS pernah dikurangkan kepada RM16 billion sahaja pada tahun 2016.
  • Jadi, langkah ke belakang yang amat berbahaya mengenai perancangan kerajaan untuk mendapatkan RM54 billion dividen daripada PETRONAS pada 2019.

Mohd Farid Hussin
Ketua Pemuda Isma

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close