Pendapat

Pendesak ICERD yang berhelah

Keadilan boleh dicapai melalui Perlembagaan, bukan jual maruah negara

BANYAK pihak menulis kebobrokan ICERD dan kandungan sebenar deklarasi tersebut. Apa yang menarik perhatian adalah perubahan nada sesetengah pihak dalam hal ini setelah orang Melayu bangkit menyatakan bantahan. Ada yang asalnya dengan berani menyatakan ia akan diratifikasi tahun hadapan kemudian berhelah menyatakan boleh ada pengecualian dan akan ada perbincangan. Ini menyebabkan timbul beberapa persoalan mengenai pendirian mereka.

Apa tujuan meratifikasi ICERD jika dikecualikan terasnya?

Artikel di dalam ICERD jelas bertentangan dengan Perlembagaaan Persekutuan, terutamanya Perkara 153. Setelah dibantah, pendesak ratifikasi ICERD mula menyatakan terdapat perkara yang boleh diminta reservasi atau dikecualikan. Menurut laporan Sinar Harian, Menteri-menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mujahid dan P Waytha Moorthy menyatakan Malaysia boleh melakukan reservasi dalam mengiktiraf ICERD.

Selain daripada mereka, terdapat artikel-artikel lain yang bercakap soal reservasi. Kenyataan mengenai reservasi ini menunjukkan bahawa secara dasarnya ICERD bertentangan dengan Perlembagaaan, hanya dengan reservasi atau meminta pengecualian kita boleh mempertahankan Perlembagaan.

Apa perkara dalam Perlembagaan yang ingin diubah?

Ratifikasi bermaksud, peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang bercanggah dengan ICERD perlu dipinda atau dihapuskan. Setakat ini, tiada senarai yang dikeluarkan kumpulan pendesak ini berkenaan perkara apakah yang secara khususnya perlu dipinda dalam Perlembagaan Persekutuan. Apa yang ada hanyalah “orang Melayu jangan risau” dan “jangan menakutkan orang.”

Juga, tidak dikeluarkan tindakan susulan apa yang akan diambil jika ICERD diratifikasi. Apakah institusi yang perlu diubah? Apakah Akta yang akan dipinda? Pendesak ratifikasi ICERD seperti sedang bersembunyi dan berjalan dengan perlahan sebelum menikam daripada belakang.

Sikap tidak konsisten pendesak ratifikasi ICERD ini menunjukkan mereka sedang berhelah. Kenyataan asal adalah tujuan, alasan-alasan lain adalah helah setelah orang Melayu bangkit marah. Jika ICERD diratifikasi kali ini, walaupun dengan pengecualian, langkah seterusnya pasti adalah untuk mendesak ratifikasi penuh. Dengan sikap orang Melayu yang mudah dipujuk dan termakan helah, penjajahan bertahap ini bukanlah sesuatu yang tidak mungkin terjadi.

Tetapi jangan lupa, di samping yang berhelah dengan hujah reservasi, ada yang mengatakan secara jelas Perkara 153 akar kepada sistem rasis, seperti dalam sebuah artikel yang dimuat naik di blog Lim Kit Siang pada tahun 2012 [https://blog.limkitsiang.com/2012/11/01/why-malaysia-should-ratify-icerd/].

Adalah mudah menuduh orang Melayu menakutkan masyarakat apabila menentang ICERD. Walhal semua perkara ini jelas bakal menggugat Perlembagaan dan identiti tanah air. Sebaliknya, pendesak ratifikasi ICERD hanya mampu bercakap soal reservasi dan pengecualian. Semua ini tanpa hujah, tanpa asas dan yang lebih penting, tanpa bukti.

Jika inginkan keadilan, capailah keadilan dalam kerangka Perlembagaan negara kita, bukan dengan menjual maruah negara berdaulat dalam keadaan berhelah melakukannya.

Eqwan Roslan
Setiausaha Agung Pemuda Isma

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close