Berita UtamaDuniaUtama

Pencarian perakam suara kokpit Lion Air masih diteruskan

Kesan rosak kotak hitam petanda impak kuat ketika pesawat terhempas

JAKARTA, 25 Safar 1440H, Sabtu – Penyelam Indonesia masih meneruskan usaha mencari kotak hitam kedua perakam suara kokpit (CVR), di tengah bangkai pesawat Lion Air yang terhempas pagi Isnin lalu.

Ketua Panel Keselamatan Pengangkutan Indonesia, Soerjanto Tjahjono berkata, usaha ditumpukan bagi mencari kotak hitam kedua di kedalaman 30 meter.

Katanya, keadaan laut yang bergelora dan arus deras serta saluran paip tenaga berhampiran menghalang usaha mencari kotak hitam pesawat berkenaan.

Sebelum ini, pasukan penyelam baru menemui sebahagian daripada kotak hitam pertama iaitu perakam data penerbangan (FDR).

Kotak hitam pesawat itu me­ngandungi FDR, yang merekodkan percakapan di dalam pesawat dan CVR yang merekodkan percakapan juruterbang dan pembantu juruterbang di kokpit.

Bagaimanapun pihak berkuasa mengesahkan, kesan kerosakan pada kotak hitam pertama berkenaan menunjukkan impak yang kuat pada pesawat ketika terhempas.

Justeru, usaha memuat turun data akan dilakukan secepat mungkin dan keputusan siasatan awal akan diberitahu selepas 30 hari.

Penyelam yang menemui FDR, Sertu Hendra memberitahu, beliau melihat sebuah kotak berwarna jingga yang tertimbus di dalam lumpur di dasar laut itu.

“Ketika itu, saya menyelam pada kedalaman 30 meter, saya juga melihat adanya bangkai pesawat yang panjangnya kira-kira satu setengah meter,” katanya.

Pakar aviasi berkata, maklumat terkandung dalam kotak hitam dapat membantu menerangkan hampir 90 peratus nahas yang berlaku.

Setiap satu kotak hitam itu mempunyai berat antara 7 kilogram (kg) hingga 10kg dan dapat bertahan pada kedalaman 6,000 meter di dalam laut atau sejam pada suhu tinggi 1,100 darjah Celsius.

Pesawat Lion Air JT-610 yang membawa 189 penumpang, termasuk dua bayi dan tujuh kru penerbangan itu, dilaporkan terputus hubungan dengan menara kawalan pada jam 6.33 pagi, 10 minit selepas pesawat berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Seokarno-Hatta di Jakarta.

Pihak berkuasa Indonesia mengesahkan tiada mangsa yang terselamat. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close