Berita UtamaUtama

ICERD gugat peluang pendidikan anak Melayu: iGuru

Jurang kekayaan tuntut hak Melayu, Bumiputera diberi keutamaan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

BANGI, 25 Safar 1440H, Sabtu – Langkah kerajaan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Untuk Memansuhkan Semua Bentuk Diskriminasi Perkauman (ICERD) pada suku pertama tahun depan akan membunuh peluang pendidikan anak-anak Melayu, kata Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru).

Presidennya, Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, iGuru bimbang tindakan meratifikasi ICERD akan memberi kesan besar kepada pendidikan terutama bangsa Melayu.

Bukan itu sahaja, meratifikasi konvensyen ini juga katanya, menyebabkan penghapusan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera seperti yang termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

Malah, hak-hak istimewa orang Melayu dalam pendidikan seperti biasiswa, kemasukan pelajar ke universiti awam, Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar rasmi dalam sistem pendidikan juga turut terjejas.

“Jurang kekayaan dan pendidikan yang berbeza menuntut hak pendidikan anak-anak Melayu dan Bumiputera diberi keutamaan, terutama biasiswa, nisbah peratus yang tinggi untuk kelayakan ke universiti awam dan institusi pendidikan untuk kaum Melayu seperti MRSM dan sekolah-sekolah agama.

“Kita juga melihat pendidikan anak- anak Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak perlu dibantu dan terus dibela terutama sekolah-sekolah kebangsaan di luar bandar dan pedalaman yang perlukan kemudahan infranstruktur dan prasarana yang lengkap,” katanya.

Justeru, beliau bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu Islam menyeru seluruh rakyat negara ini dan pemimpin Melayu supaya bangkit membantah usaha meratifikasi ICERD.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy menyatakan kerajaan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.

Komitmen itu turut diberikan oleh Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mujahid Rawa dan diperkukuhkan lagi oleh kenyataan Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah serta Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Perhimpunan Agung PBB baru-baru ini.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close