Berita UtamaDuniaUtama

763 pesakit dilarang dapat rawatan luar Gaza

Zionis sengaja tangguh, tolak permohonan rawatan rakyat Palestin

GAZA, 25 Safar 1440H, Sabtu – Tidak hanya hak sebagai rakyat di tanah air sendiri dirampas, malah hak menerima rawatan dan perubatan ke atas 763 pesakit Palestin turut dinafikan dan dihalang rejim pengganas Israel pada bulan September.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam laporannya mendedahkan, sebanyak 668 permohonan pesakit untuk melintasi sempadan Erez – yang dikendalikan Israel – ditangguhkan sehingga menyukarkan mereka menerima rawatan.

Daripada jumlah itu, 161 permohonan adalah untuk kanak-kanak di bawah umur 18 tahun dan 71 permohonan membabitkan pesakit berumur 60 tahun ke atas.

“95 permohonan menyeberang Erez bagi tujuan penjagaan kesihatan pada bulan September ditolak, termasuk tujuh kanak-kanak dan 14 warga emas.

“18 peratus permohonan yang ditolak adalah untuk temu janji dengan bahagian bedah saraf, 17 peratus rawatan mata, 17 peratus ortopedik dan 12 peratus bagi rawatan kanser,” kata laporan itu.

WHO berkata, lebih 90 peratus permohonan yang ditolak adalah membabitkan temu janji rawatan di hospital Baitulmaqdis dan Tebing Barat.

“18 permohonan ditolak pada bulan September turut membabitkan rakyat Palestin yang cedera ketika demonstrasi bersiri, Great March of Return,” katanya.- Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close