Berita UtamaDuniaUtama

Putera Mahkota Arab Saudi kata Khashoggi bahaya, lapor akhbar

Rejim Israel, Mesir desak AS pertahan Putera Mohammed bin Salman

BANGI, 24 Safar 1440H, Jumaat – Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman menyifatkan Jamal Khashoggi sebagai ‘individu Islam berbahaya’, ketika bercakap menerusi telefon dengan dua pegawai White House, sebaik wartawan terkenal itu hilang, dakwa The Washington Post (The Post).

Akhbar harian yang diterbitkan di Washington DC itu mendakwa, Putera Mohammed membuat kenyataan itu dalam perbualan dengan menantu Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, Jared Kushner, dan Penasihat Keselamatan Presiden AS, John Bolton, beberapa hari selepas Khashoggi hilang pada 2 Oktober lalu.

Memetik sumber, The Post, mendakwa dalam perbualan itu Putera Mohammed mendesak Kushner dan Bolton memberi penekanan mengukuhkan hubungan dan kerjasama AS-Arab Saudi.

Putera Mohammed juga memberitahu kedua-duanya bahawa Khashoggi, warga Arab Saudi yang ‘melarikan diri’ ke AS tahun lalu, adalah anggota Ikhwanul Muslimin.

Akhbar itu melaporkan, Bolton tidak menyatakan persetujuannya terhadap anggapan Putera Mohammed terhadap Khashoggi.

Dalam satu kenyataan kepada akhbar berkenaan, keluarga Khashoggi menafikan kolumnis The Post itu menganggotai Ikhwanul Muslimin, malah sejak bertahun-tahun lalu beliau menafikannya.

“Jamal Khashoggi bukan individu berbahaya. Mendakwa sebaliknya, adalah tuduhan tidak masuk akal,” kata keluarganya.

Pegawai Arab Saudi bagaimanapun, menafikan Putera Mohammed membuat komen sedemikian, walaupun perhubungan menerusi telefon kedua-dua pihak sering dibuat.

Kushner yang juga penasihat pentadbiran Trump bagi polisi Timur Tengah, mempunyai hubungan rapat dengan Putera Mohammed, dan menjadi pemain peranan utama di sebalik perjanjian senjata Washington dan Riyadh tahun lalu.

The Post juga melaporkan bahawa Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi serta Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menghubungi pentadbiran Trump beberapa hari lalu, menggesa AS mempertahankan Putera Mohammed yang mereka sifatkan sebagai ‘rakan strategi utama di rantau itu.

2 Oktober lalu, Khashoggi mati dibunuh di dalam konsulat Arab Saudi di Istanbul, dan ramai pihak yang menuding jari kepada Putera Mohammed, apabila lima daripada 15 anggota pasukan khas yang menjalankan operasi pembunuhan itu, adalah kakitangan beliau. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close