Berita UtamaDuniaUtama

JT43/JT610 Lion Air bermasalah malam sebelum terhempas

Penemuan kotak hitam bakal merungkai punca nahas Boeing 737 MAX

JAKARTA, 24 Safar 1440H, Jumaat – Juruterbang pesawat Lion Air dari Pulau Bali memberi amaran menerusi radio berhubung masalah teknikal yang dialami, ketika dalam penerbangan ke Jakarta, Ahad lalu, tetapi mampu melakukan pendaratan, setelah masalah itu diatasi.

Namun, keesokkan paginya, pesawat sama terhempas di Laut Jawa, membunuh 189 penumpang dan anak kapal.

Ketua Lapangan Terbang Wilayah Bali-Nusa Tenggara, Herson berkata, selepas memberi amaran menerusi radio, juruterbang JT43 Lion Air kemudian memberitahu menara kawalan Denpasar bahawa pesawat sudah kembali normal dan tidak akan berpatah balik sebagaimana yang diminta sebelum itu.

“Juruterbang yakin sepenuhnya untuk terbang terus ke Jakarta dari Denpasar,” katanya.

Juruterbang sebuah pesawat lain yang menghampiri Bali beberapa minit setelah JT43 itu berlepas berkata, beliau diarah berpusing-pusing di ruang udara lapangan terbang dan mendengar perbualan antara juruterbang dan menara kawalan, melalui radio.

“Disebabkan panggilan Pan-Pan, kami diberitahu supaya menunggu, mengelilingi ruang udara lapangan terbang. Pesawat Lion Air itu memohon kebenaran berpatah balik ke Bali, lima minit setelah berlepas.

“Tetapi juruterbangnya kemudian berkata masalah sudah diatasi dan beliau meneruskan perjalanan ke arah Jakarta,” katanya.

Juruterbang biasanya menggunakan isyarat Pan-Pan untuk memaklumkan situasi kecemasan. Pan-Pan adalah tahap lebih rendah berbanding isyarat Mayday.

Jet Lion Air dari Denpasar itu mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno Hatta, Jakarta, jam 10.55 malam Ahad.

Jet sama Boeing 737 MAX kemudian berlepas dari lapangan terbang Jakarta, pada jam 6.20 pagi Isnin menuju ke Pulau Bangka dan menjunam ke Laut Jawa 13 minit kemudian. Sebelum nahas, juruterbang memaklumkan berlaku masalah dan memohon berpatah balik.

Jurucakap Lion Air bagaimanapun, enggan mengulas apabila ditanya mengenai amaran awal daripada juruterbang pesawat itu ketika dalam penerbangan dari Bali ke Jakarta.

Ketika media membuat spekulasi mengenai kelayakan dan keselamatan pesawat itu untuk melakukan penerbangan, Kementerian Pengangkutan Indonesia menggantung sementara pengarah teknikal Lion Air dan tiga pegawai lain, Rabu lalu, bagi membantu siasatan nahas.

Nahas udara kedua terbesar itu selepas kejadian pada 1997, mencetuskan keprihatinan terhadap rekod keselamatan penerbangan Indonesia.

Tragedi itu juga menarik perhatian terhadap Boeing 737 MAX, yang diperkenalkan Boeing dalan rangkaian pesawat komersialnya tahun lalu, sehinggalah nahas Isnin lalu menghancurkan rekod bersih kemalangan.

Pesawat MAX dengan kerangka badan yang sempit itu adalah hasil pembaharuan dalam siri Being 737, jenis pesawat komersial paling banyak dihasilkan di dunia dan dianggap mempunyai rekod keselamatan paling kukuh.

Ketika dalam penerbangan dari Bali ke Jakarta Ahad lalu, pesawat JT43 itu dilaporkan terbang dalam keadaan ‘tidak menentu’, sementara data kelajuannya dikatakan tidak boleh dipercayai.

Berdasarkan data FlightRadar24, pesawat itu menunjukkan variasi ketinggian dan kelajuan penerbangan yang di luar daripada kebiasaan beberapa minit setelah berlepas, termasuk jatuh 875 kaki dalam 27 saat, sedangkan sepatutnya ia naik, tetapi kemudian meneruskan penerbangan ke Jakarta.

Bagaimanapun, juruterbang JT43 itu mengekalkan ketinggian penerbangan pada 28,000 kaki, berbanding 36,000 kaki pada laluan yang sama seminggu sebelum itu.

Namun, kini, pasukan SAR Indonesia sudah menemui kotak hitam pesawat itu yang bakal merungkai masalah sehingga menyebabkan jet Lion Air terbabit terhempas mengorbankan 189 nyawa. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close