Tarbiyyah

Seronoknya berdakwah II

Perlu wujud persaingan sihat untuk agensi, biro mencapai KPI

SEBELUM INI saya telah kongsikan 3 tips untuk menyuntikkan keseronokan dalam melakukan amal dakwah iaitu:

1) Mantapkan ukhuwah dengan gurauan dan kemesraan bersama ahli pasukan;

2) Meraikan keperluan psikologi dan fisiologi ahli dengan memberikan pelbagai ganjaran dan sistem sokongan;

3) Menceritakan tentang matlamat akhir perjuangan iaitu syurga;

Selain daripada itu, terdapat beberapa cara lain yang boleh dilakukan untuk memastikan para ahli organisasi sentiasa merasa teruja dan bersemangat untuk melaksanakan pelbagai tugasan dakwah yang amat berat serta menuntut pengorbanan yang bukan sedikit. Antaranya ialah:

4) Sengaja wujudkan persaingan yang bermakna;

Selain syurga yang merupakan matlamat jangka masa panjang, para pekerja dakwah akan lebih termotivasi untuk memberikan yang terbaik jika digambarkan secara khusus matlamat jangkasama pendek yang perlu dicapai oleh organisasi. Ini biasanya dilakukan dengan membangunkan perancangan strategik yang mengambil kira visi, misi, objektif, strategi, aktiviti dan juga petunjuk prestasi utama atau ‘key performance indicator’ (KPI)

Persaingan sihat perlu diwujudkan antara agensi atau biro untuk mencapai KPI yang telah ditetapkan kerana ia mampu mengujakan seluruh ahli pasukan, apatah lagi jika agensi atau biro yang menang diberikan ganjaran yang menarik.

Bukan sekadar itu, persaingan juga boleh diwujudkan dalam bentuk santai yang tidak berkaitan terus dengan prestasi utama organisasi. Contohnya, giliran membersih dan menghias pejabat dibuat dan hadiah diberikan kepada pasukan yang berjaya menghias pejabat dengan nilai kreativiti yang tertinggi. Contoh lain ialah dengan memperkenalkan anugerah ahli paling proaktif bagi setiap bulan dengan kriteria tertentu dan hadiah bulanan yang menjadi rebutan ramai.

5) Sentiasa berikan galakan dan ganjaran;

Terkadang para pekerja dakwah hilang keseronokan beramal disebabkan ketepuan dan kurangnya tunjuk ajar yang diberikan oleh para pimpinan dan ahli yang lebih senior. Oleh itu, galakan dan lonjakan semangat perlu diberikan secara berterusan kepada segenap lapisan ahli.

Galakan boleh diberikan dalam bentuk khidmat nasihat, sesi ‘coaching’ atau semudah menghantar kata-kata pembakar semangat atas talian contohnya melalui perhubungan media sosial.

Manakala ganjaran pula mencakupi aspek material dan juga spiritual atau emosi. Salah satu ganjaran spiritual yang paling hebat kesannya ialah pujian. Namun, walaupun amat mudah dan percuma untuk dilakukan, tidak ramai dari kalangan kita yang rajin mengaplikasikan teknik ini kepada rakan seperjuangan yang lain bagi menimbulkan semangat dan keseronokan dalam beramal kolektif. Pemimpin yang bijak akan sentiasa membudayakan pengiktirafan ataupun pujian dalam organisasi contohnya setiap kali sebelum memulakan ucapan rasmi atau sebelum mesyuarat. Manakala, sebarang kesalahan atau kesilapan akan ditegur secara peribadi melalui sesi ‘coaching’, sesi khidmat nasihat atau sesi maklumbalas dua hala yang disusun secara berkala.

6) Keluar dari rutin biasa;

Salah satu faktor lain yang menyebabkan ketepuan dalam beramal juga ialah rutin sama yang dilalui bertahun-tahun lamanya. Keadaan ini terkadang mampu mematikan keseronokan dan keterujaan ahli untuk menyumbang secara maksimum. Justeru, sesekali aktiviti di luar kebiasaan perlu dirancang contohnya program percutian keluarga, sesi regangan badan sebelum program, pertukaran etika pemakaian, perkelahan santai ataupun sekadar makan-makan ringkas sebelum atau sesudah sesuatu mesyuarat.

Tidak semestinya program atau inisiatif baharu yang dianjurkan, tapi sebaliknya program sedia ada juga boleh dilaksanakan dengan cara dan pendekatan yang berbeza. Ini pasti mampu menyuntik elemen kesegaran dan kejutan yang meninggalkan impak positif kepada keseluruhan organisasi.

Sebagai contoh menukar tempat mesyuarat yang setiap kali diadakan di pejabat ke suatu tempat baru yang lebih eksklusif dan mendamaikan. Atau menukar masa program untuk memberikan lebih rehat kepada para ahli. Atau menambah eleman hiburan, permainan dan keunikan dalam program rasmi yang sering dilihat kering dan membosankan.

Semua ini bergantung kepada keterbukaan dan kreativiti pemimpin sesuatu organisasi.

7) Tukar posisi secara berkala;

Menukar posisi secara berkala juga merupakan salah satu cara lain untuk keluar dari rutin biasa. Kajian menunjukkan terlalu lama berada dalam satu-satu posisi atau tugas boleh mengurangkan produktiviti dan prestasi seseorang, terutama bagi bidang tugas yang melibatkan banyak pengulangan.

Sesetengah kes, ahli yang mahir dalam sesuatu bidang dipertanggungjawabkan untuk berperanan terlalu lama dalam posisi yang memerlukan kepakarannya sehingga menafikan potensi lain yang boleh dicungkil dari dalam dirinya dan juga pembangunan pelapis baru yang sepatutnya mampu menggalas tugas yang serupa.

Terhadap juga kes pimpinan yang terlalu takut untuk berubah, sentiasa ingin merasa selamat dengan ahli pasukan utama yang sama sehingga mematikan dinamika dan keanjalan struktur sesebuah organisasi. Ini juga pasti akan memberikan kesan negatif terhadap motivasi dan keseronokan ahli dalam beramal.

Selain pertukaran posisi, perubahan struktur, strategi dan gerak kerja juga mampu menyuntik keterujaan yang sama jika dilaksanakan kena dengan caranya.

Selamat Mencuba!

Ir. Hj. Muhammad Lukman Al Hakim Bin Muhammad
Kluster Tarbiah ISMA

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close