Pendapat

ICERD rugikan Melayu: Tun Hamid

Pengesahan Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum merugikan Melayu

KONVENSYEN Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination) (konvensyen) telah dibuka untuk ditandatangani dan disahkan (ratified) mulai 21 Disember 1965 dan mula berkuatkuasa pada 4 Januari 1969. Hingga ke hari ini, Malaysia tidak mengesahkannya. Malaysia adalah satu daripada 15 buah negara yang tidak mengesahkannya, termasuk Brunei dan Israel.

Tetapi, dengan kemenangan Pakatan Harapan (PH) dalam PRU 14, kerajaan PH hendak mengesahkan konvensyen itu dan lima lagi konvensyen yang berkaitan, sebagai memenuhi janji pilihanrayanya, khususnya kepada orang bukan Melayu.

Maka, kita perlu tahu mengapa selama lebih daripada 50 tahun Malaysia, di bawah pemerintahan kerajaan BN, tidak mengesahkan konvensyen itu dan mengapa kerajaan PH hendak mengesahkannya. Untuk itu, kita perlu tahu terlebih dahulu isi kandungannya dan kesan pengesahannya.

Dalam rencana ini saya hanya akan memperturunkan bererapa peruntukan yang penting yang mungkin memberi kesan kepada peruntukan-peruntukan Perlembagaan kita, khususnya Perkara 153, kerana, atas satu alasan itu sahaja pun, ia sudah cukup merugikan orang lain.

Konvensyen itu, antara lain, memperuntukkan:

“Perkara 1

1. Dalam Konvensyen ini, istilah “diskriminasi kaum” bermaksud sebarang perbezaan, pengecualian, sekatan atau keutamaan berdasarkan bangsa, warna, keturunan, atau asal-usul kebangsaan atau etnik yang mempunyai maksud atau kesan membatalkan atau merusakkan pengktirafan, penikmatan dan penggunaan, atas asas yang sama, hak asasi manusia (“or effect of nullifying or impairing the recognition, enjoyment or exercise, on an equal footing, of human rights”) dan kebebasan asas dalam politik, ekonomi, sosial, kebudayaan atau mana-mana bidang kehidupan umum.” (Terjemahan saya. Untuk mengetahui peruntukan asal dalam Bahasa Inggeris, sila layari laman-laman web saya.)

Ringkasnya memberi keistimewaan kepada sesuatu kumpulan berdasarkan kaum adalah diskriminasi.

2. Konvensyen ini tidak terpakai bagi perbezaan, pengecualian, sekatan atau keutamaan yang dibuat oleh Pihak Negara kepada Konvensyen ini antara warganegara dan bukan warganegara. (Terjemahan saya).

Maksudnya diskriminasi antara warganegara dan bukan warganegara dibenarkan.

4. Langkah-langkah khusus yang diambil untuk tujuan tunggal untuk mencapai kemajuan yang mencukupi bagi sesetengah golongan kaum atau etnik atau individu yang memerlukan perlindungan sedemikian yang perlu untuk memastikan kumpulan atau individu yang sama menikmati atau menjalankan hak asasi manusia dan kebebasan asas tidak akan dianggap diskriminasi kaum , dengan syarat, bahawa langkah sedemikian tidak, akibatnya, membawa kepada penyelenggaraan hak yang berasingan bagi kumpulan kaum yang berlainan dan bahawa ia tidak akan diteruskan setelah tujuan ia diambil telah dicapai. (Terjemahan saya)

Ringkasnya, diskriminasi seperti yang terkandung dalam Perkara 153 dibenarkan jika ia memenuhi syarat-syarat yang disebut dalam pasal ini. Tanpa menghujahkan alasan-alasan lain, Perkara 153 tidak akan terkecuali kerana ia bukan bagi suatu tempoh yang terhad. Ia tidak menyebut bahawa ia tidak akan “diteruskan setelah tujuan yang ia (langkah itu) diambil telah dicapai”. Selain dari itu, jika konvensyen itu disahkan, pihak yang tidak mahu adanya Perkara 153 akan menghujahkan bahawa tujuannya telah tercapai dan masa selama lebih daripada 60 tahun sudah cukup panjang dan ia tidak sepatutnya dibiarkan berterusan.

Saya berani mengatakan, jika konvensyen itu disahkan, dengan serta merta, akan ada pihak yang akan mencabar kesahan (validity) Perkara 153 atas alasan ia bercanggah dengan konvensyen itu.

“Perkara 2

1 Negara-negara Pihak mengecam diskriminasi kaum dan berusaha untuk melaksanakan dengan segala cara yang sesuai dan tanpa kelewatan dasar bagi menghapuskan diskriminasi kaum dalam semua bentuknya dan mempromosikan persefahaman di kalangan semua kaum, dan, untuk tujuan ini:

(a) Setiap Negara Pihak berjanji untuk tidak melakukan tindakan atau amalan diskriminasi kaum terhadap orang, kumpulan orang atau institusi dan untuk memastikan bahawa semua pihak berkuasa awam dan institusi awam, nasional dan tempatan, hendaklah bertindak mengikut kewajipan ini; (Terjemahan saya)

(b) ……..

(c) Setiap Pihak Negara akan mengambil langkah-langkah yang berkesan untuk mengkaji semula dasar kerajaan, nasional dan tempatan, dan untuk meminda, membatalkan atau memansuhkan mana-mana undang-undang dan peraturan yang mempunyai kesan mewujudkan atau mengekalkan diskriminasi kaum di mana-mana ia wujud; (Terjemahan saya)

Ringkasnya, kerajaan hendaklah, antara lain, berusaha untuk menghapuskan diskriminasi kaum dengan segera termasuk meminda, membatal dan memansuhkan undang-undang yang mengekalkan diskriminasi kaum. Dalam kata-kata lain, Perkara 153 perlu dimansuhkan dan segala dasar yang yang mengutamakan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, mestilah dihentikan.

Saya tiada masalah dengan Pasal 3 kerana kita tidak pernah mengamalkan apartheid.

Pasal 5 panjang. Sebagai misalan, ia menghendaki Negara Pihak menghapuskan diskriminasi dan menjamin hak kepada semua orang untuk mengambil bahagian dalam politik seperti bertanding dalam pilihanraya; hak untuk kebebasan bergerak dan tinggal dalam sempadan negara; hak untuk kebebasan keluar negara dan kembali semula; hak untuk kebebasan memiliki harta secara bersendirian atau bersama-sama orang lain; hak untuk mewarisi harta; hak untuk kebebasan berhimpun dan berpersatuan dan lain-lain. Semuanya sudah pun diperuntukkan dalam Perlembagaan kita. Kita tidak ada masalah dengannya.

Apakah kesannya jika kita mengesahkan konvensyen itu?

Dalam hubungan negara kita dengan negara-negara lain, kita terikat dengan konvensyen itu.

Di peringkat dalam negera, kita kena melaksanakannya, termasuk mengubah dasar kita, misalnya UiTM mestilah dibuka kepada semua, tidak boleh dikhaskan kepada pelajar-pelajar Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak sahaja; pengambilan pegawai-pegawai awam tidak boleh mengikut quota lagi; demikian juga pemberian biasiswa, lesen dan kontrak, tidak boleh diberi keutamaan kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak lagi, dan berbagai-bagai lagi; undang-undang yang bersifat diskriminasi, termasuk Perkara 153 mestilah dimansuhkan, dan lain-lain lagi.

Itulah sebabnya kerajaan BN tidak mengesahkannya. Dalam hal ini, kita patut puji kerajaan BN dan peguam-peguam negara yang menasihatkan kerajaan BN dalam tempoh 50 tahun itu.

Perlu diambil ingatan, tempoh itu termasuk 22 tahun Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri. Kita juga patut puji beliau bagi tempoh itu. Bagaimana sekarang?

Sekarang, dengan Waytha Moorthy, Pengerusi Hindraf sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri bertanggungjawab bagi perpaduan dan kesejahteraan; Tommy Thomas sebagai Peguam Negara; DAP sebagai parti dominan dalam PH walau pun PH menafikannya; pemimpin-pemimpin Amanah seperti masih khayal dengan kemenangan dan jawatan menteri; pemimpin-pemimpin PKR sibuk berebut jawatan dalan parti; Tun Dr. Mahathir cuba menyesuaikan diri dengan fahaman liberal dan sosialis DAP; kebencian terhadap Dato’ Seri Najib sampai ke tahap apa yang dibuat oleh kerajaan BN termasuk 22 tahun yang dilakukan oleh Tun Dr. Mahathir sendiri, semuanya salah; beberapa orang menteri kerajaan PH yang tidak pernah merasakan kuasa dan kedudukan cuba menjadi juara masyarakat mereka sendiri; iri hati dan dendam terhadap orang Melayu dan janji pilihan raya PH, dengan itu semua, maka kerajaan PH bersedia untuk mengesahkan konvensyen itu. Para pemimpin Melayu dalam PH, sama ada dari Amanah, PKR atau pun PPBM, terus membisu.

Saya tiada masalah jika kita boleh mengesahkan konvensyen itu dengan pengecualian bahawa kita menerima konvensyen itu setakat yang ia tidak bercanggah dengan Perlembagaan kita. Bolehkah Peguam Negara Tommy Thomas dan Waytha Moorthy memberi jaminan ia boleh dilakukan?

Saya hujahkan bahawa pengecualian (reservation) seperti itu tidak boleh dilakukan sebab ia bercanggah dengan tujuan asas konvensyen itu, iaitu menghapuskan diskriminasi kaum.

Lagi pula, bersetujukah Waytha Moorthy dengan pengecualian seperti itu? Jika Perkara 153 akan kekal, untuk apa konvesyen itu hendak disahkan sedangkan itulah tujuan ia hendak disahkan? Jika sekadar untuk mengadakan kesalahan-kesalahan untuk mengelak ketegangan antara kaum, sekarang pun kesalahan-kesalahan itu telah ada dalam Akta Hasutan 1948. Jika tidak cukup tambahkan sahaja. Peliknya Akta Hasutan hendak dimansuhkan. Konvensyen itu hendak disahkan.

Saya katakan, tujuan utama konvensyen itu hendak disahkah adalah kerana mereka mahukan keistimewaan yang diberikan kepada orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak itu, dihapuskan. Mereka tidak berkata dengan terus terang bahawa itulah tujuan mereka, untuk mengelak bantahan. Maka, mereka menuntut supaya Malaysia mengesahkan konvensyen berkenaan. Apabila Malaysia mengesahkannya, Perkara 153 dan dasar yang bersifat diskriminasi kaum yang telah dipersetujui sebagai balasan kepada persetujuan orang Melayu memberi kerakyatan kepada orang bukan Melayu, yang telah termaktub dalam Perlembagaan itu, akan terpaksa dimansuhkan.

Untuk mengelak bantahan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak, mereka mengatakan bahawa pengesahan itu tidak akan melibatkan peruntukan Perkara 153. Itu tidak betul.

Alasan yang mereka beri untuk memansuhkan Perkara 153 (walaupun mereka tidak berkata dengan terus terang) ialah Perkara 153 itulah yang menghalang perpaduan. Mansuhkan Perkara 153, perpaduan akan tercapai. Dalam kata-kata lain, hapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan berikan mereka hak yang sama, perpaduan akan wujud! Itu adalah hujah yang meleset. Ia adalah helah untuk memansuhkan Perkara 153. Ini orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak, perlu sedar.

Kepada anak-anak negeri Sabah dan Sarawak saya ingatkan, bahawa untung rugi mereka adalah bersama orang Melayu dalam hal ini. Jangan kerana benci kepada orang Melayu atas isu agama hingga terlupa isu yang lebih besar.

Kepada pemimpin-pemimpin Melayu dalam PKR, PPBM dan Amanah saya bertanya, apakah pendirian mereka?

Kepada kerajaan PH saya ingin bertanya, adakah ia benar-benar hendak menghapuskan hak keistimewaan orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak? Jika, ya, cakap terus terang supaya semua orang tahu. Jangan berselindung di sebalik konvensyen itu.

Kepada semua yang berjuang untuk mengesahkan konvensyen itu, jangan cuba memberi gambaran bahawa Malaysia adalah sebuah negara paria kerana tidak mengesahkan konvensyen itu. Amerika Syarikat pun baru mengesahkannya dalam tahun 1992.

Kovenan Antarabangsa Mengenai Hak Ekonomi, Sosial dan Budaya (1966) yang merupakan sebahagian daripada International Bill of Human Rights belum disahkan oleh Amerika Syarikat. Malaysia juga belum mengesahkannya.

Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (1979) telah disahkan oleh Malaysia. Amerika Syarikat adalah satu-satunya negara maju yang masih belum mengesahkannya.

Konensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (1989) telah disahkan oleh Malaysia. Amerika Syarikat adalah satu daripada dua buah negara yang belum mengesahkannya.

Akta Mahkamah Jenayah Antarabangsa Rome (1998) belum disahkan oleh Malaysia. Amerika Syarikat juga belum mengesahkannya.

Konvensyen Antarabangsa Mengenai Perlindungan Hak Semua Pekerja Pendatang dan Anggota Keluarga Mereka (1990) belum disahkan oleh Malaysia. Amerika Syarikat juga belum mengesahkannya.

Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (2006) . Malaysia sudah pun mengesahkannya. Amerika Syarikat masih belum mengesahkannya.

Itu adalah beberapa misalan daripada berapa banyak konvensyen yang belum disahkan oleh Amerika Syarikat.

Orang Melayu dan anak-anak negeri Sabah dan Sarawak perlu sedar apa yang sedang berlaku dan mempertahankan hak mereka yang telah dipersetujui dan termaktub dalam Perlembagaan. Kita mempertahankan peruntukan Perlembagaan yang sedia ada. Pelampaukah kita?

Tun Abdul Hamid Mohamad
Bekas Ketua Hakim Negara

Penafian: Artikel ini adalah pendapat penulis dan tiada kaitan dengan Ismaweb.net.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close