Kolumnis

Tuankah Melayu jika hanya tinggal nama Melayu?

Ketuanan Melayu merujuk Melayu sebagai penduduk asal Nusantara

ISTILAH ketuanan Melayu heboh diperkatakan semula. Bermula dengan seorang makcik tua bekas menteri bercakap, kemudian disambut oleh menteri muda yang suka tayang body.

Mereka mahukan kesaksamaan bagi memastikan Malaysia maju. Benarkah Malaysia tidak akan ke mana-mana jika ada yang mempertahankan kepentingan yang termaktub dalam Perlembagaan?

Atas tujuan apa ia dibangkitkan, saya kurang pasti. Cuma saya berasa pelik, bila Melayu mempertahankan hak Melayu, itu rasis. Namun, apabila kaum Cina atau India mempertahankan hak mereka, itu hak. Seolah-olah kita mahu menutup mata bahawa di negara lain tidak mempertahankan kepentingan bangsa masing-masing?

Sedar atau tidak, bahawa setiap negara yang ada di dunia ini, masih wujud ketuanan bangsa, cuma tidak diterjemahkan dalam bentuk nama iaitu ketuanan?

Apakah Cina tidak ada ketuanan Cina di China. Ketuanan Siam di Thailand. Begitu juga India di negara India. Jika tidak, ada masakan nama Allahabad yang ada bunyi Islam ditukar nama Prayagraj.

Seluruh dunia senyap, apabila nama Allahabad ditukar nama Prayagraj oleh kerajaan India. Menurut sumber sejarah, sebelum ini Allahabad dikenali sebagai Prayag. Ada sumber lain mengatakan sebelum nama Prayag, adalah nama Khausambi.

Allahabad sebelum itu, dikenali sebagai Illahabas (1584) bermaksud ‘abode of God’, diberikan oleh Raja Akbar ketika Islam memerintah India melalui kerajaan Moghul. Selepas itu nama Illahabas menjadi Allahabad ketika Shah Jahan memerintah. Itu dalam konteks di India.

Di Malaysia, semua orang tahu bahawa apabila disebut ketuanan Melayu, ia BUKAN merujuk kepada Melayu itu tuan, manakala orang lain atau kaum lain itu hamba. Ketuanan Melayu hanya merujuk Melayu sebagai penduduk asal rantau nusantara ini.

Jika benarlah Melayu itu tuan yang sebenarnya tuan di bumi ini, sudah tentu Melayu sudah menjadi kaya raya, punyai bangunan pencakar langit dan tanah-tanah Melayu yang menjadi kepunyaan Melayu.

Realitinya, Melayu sudah tidak punya apa-apa lagi. Jika di kawasan Kuala Lumpur dan sekitar, majoriti Melayu tinggal di rumah flat, bertanahkan lantai simen. Melayu sudah tidak punya tanah di tanah tumpah lahirnya sendiri.

Semua tanah sudah menjadi milik bangsa lain.

Justeru, saya menjadi sangat musykil, apa ada pada nama-nama ketuanan Melayu jika sekiranya Melayu merempat di buminya sendiri.

Jika Melayu benar-benar menjadi tuan di tanah ini, sudah tentu bukan Melayu telah diasimilasikan menjadi Melayu seperti mana Siam mensiamkan orang Cina dan orang Indonesia mengindonesiakan orang Cina.

Tetapi di Malaysia, Cina terus dengan bentuk dan rupa ketuanan Cina. Begitu juga dengan India. Bukan itu sahaja, ketuanan mereka juga dijamin dengan mengekalkan sekolah-sekolah berasaskan bahasa ibunda masing-masing. Malah, logo sekolah mereka ada yang sepatah haram pun bahasa Melayu tidak ada.

Jika ketuanan Melayu mengakarkan sudah tentu sekolah vernakular ini akan dihapuskan seperti yang dilakukan oleh Thailand dan Indonesia. Tetapi ia tidak berlaku. Malah, sekolah berasaskan kaum ini semakin bertambah dan mengakar.

Secara tidak langsung, sudah wujud ketuanan Cina dan India sejak bermulanya penghijrahan, sebab tidak berlaku asimilasi seperti mana yang dapat dilihat di Thailand dan Indonesia.

Jika diteliti secara mendalam, hari ini, Melayu langsung tidak menjadi tuan. Tuankah mereka jika semua gedung dan pasar raya dipunyai oleh bukan Melayu?

Tuankah Melayu jika tanah-tanah komersial dipunyai orang lain? Tuankah Melayu jika bahasa Melayu sendiri tidak diutamakan, malah bahasa asing yang mengakar?

Tuankah Melayu, jika jawatan menteri pembuat dasar seperti undang-undang, ketua hakim, peguam negara disandang bukan Melayu?

Tuankah Melayu jika Melayu hanya menjadi pekerja bukan taukeh? Tuankah Melayu jika Melayu merempat di bumi sendiri?

Tuankah Melayu apabila kita lihat dahulu nama-nama jalan semuanya ada tulisan jawi, hari ini nama-nama jalan hanya bertulis rumi, ada yang bertulis Cina.

Tuankah Melayu, jika masjid surau hanya ada sekitar 30,000, sedangkan rumah ibadat bukan Islam ada 500,000?

Sebenarnya, apa yang tidak sama rata dan apa tidak saksama?

Terbaharu, kerajaan hari ini sedang berusaha untuk meratifikasi enam konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terutama Konvensyen Antarabangsa Menentang Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD). Ini berkaitan secara langsung mengenai kedudukan hak istimewa Islam dan Melayu dalam Perlembagaan.

Jika ICERD ini dilaksanakan, maka Perkara 3 dan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan jelas memperuntukkan kedudukan istimewa diberikan kepada Islam dan Bumiputera akan dihapuskan, semua hak menjadi sama rata, sama rasa.

Dalam keadaan yang ada perlindungan, kita sudah tenat. Bagaimana jika tidak ada perlindungan langsung.

Hanya kerana Raja Melayu itu raja, Perdana Menteri itu Melayu, adakah cukup untuk mengatakan bahawa kita tidak perlu risau, takkan Melayu hilang di dunia.

Sesungguhnya Melayu akan hilang, jika agenda jahat ICERD ini dilaksanakan. Islam hilang daripada jati diri Melayu. Begitu juga dengan kedudukan ekonomi Melayu.

Adakah Islam begitu rapuh sehingga kita memerlukan perlindungan? Sebenarnya Islam tidak perlukan perlindungan Perlembagaan, jika kita kuat dan bersatu. Tetapi masalahnya kita lemah, kita berpecah. Orang lain mengambil kesempatan.

Jika tidak percaya, cuba kalau kita tukar nama Jalan Yap Ah Loy kepada nama Jalan Abdul Rahman. Atau nama Jalan Patto kepada nama Siti Kasim. Atau bandar Goh Tong Jaya kepada nama Razak Jaya. Ketika itu apa reaksi ultra kiasu?

Tuankah Melayu jika nama yang pelik-pelik terus mengakar menenggelamkan nama Melayu? Sama-sama kita fikir.

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah
Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL)
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Melayu dan Islam sederhana, mahupun pendirian rasmi Portal Islam dan Melayu (Ismaweb.net).

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close