Artikel Khas

Sekolah vernakular medium perpaduan? Wahai menteri jangan cakap ikut sedap mulut berpolitik

Kita masih gagal bentuk sebuah negara bangsa berasaskan perpaduan

SEBAGAI rakyat marhaen, amat sedih sekali membaca berita seorang menteri yang bertangggungjawab dalam perkara berkaitan dengan perpaduan negara bercakap mengenai perpaduan dalam konteks yang begitu naif.

Bukan dengan kenyataan sedemikian untuk menepis dakwaan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa menutup sekolah vernakular adalah cara terbaik merapatkan jurang perkauman.

Menteri itu berkata lagi, baru-baru ini beliau mendapat tahu sekolah vernakular memberi banyak manfaat kepada pelajar Melayu kerana mereka fasih berbahasa Tamil atau Mandarin selepas menamatkan pelajaran.

Sebagai seorang menteri adakah beliau baharu sahaja menyedarikan tentang perkara3e ini? Apakah dengan adanya pelajar Melayu boleh berbahasa Cina dan Tamil, bermakna perpaduan telah tercapai dengan mudah?

Bukan semudah itu perpaduan boleh tercapai dengan kebolehan berbahasa dalam kalangan orang Melayu dan Bumiputera selaku majoriti.

Kenapa menteri tersebut tidak bercakap perkara asas rukun hidup bernegara? Berapa ramai orang bukan Melayu, terutama orang Cina tidak boleh berbahasa kebangsaan?

Berapa peratus sahaja orang Melayu berada di SJKC dan SJKT untuk menguasai bahasa Cina dan Tamil?

Apakah apabila orang Melayu dapat menguasai bahasa Mandarin dan Tamil, bermakna perpaduan telah dapat dijalinkan?

Lebih sedih lagi bila menteri yang bercakap itu datang daripada Sabah Sarawak?

Pertanyaan ringkas saya, adakah perpaduan yang sedia terjalin di Sabah dan Sarawak disebabkan oleh pandainya Bumiputera Sabah Sarawak menguasai bahasa Mandarin dan Tamil.

Apakah alat utama yang menjalinkan perpaduan di Sabah Sarawak? Tidakkah bahasa Melayu yang memainkan peranan utama yang menjadi bahasa yang dipertuturkan dalam kalangan etnik yang sangat rencam di sana?

Berpijaklah di bumi yang nyata. Jangan hanya bercakap ikut sedap mulut dan berpolitik.

Bukan main lagi akhbar Shin Chew memetik kata-kata menteri tersebut walaupun hujahnya amat dangkal.

Untuk mencapai perpaduan, bukan semudah itu, dengan majoriti menguasai bahasa minoriti. Dalam hidup bernegara, paling penting, setiap rakyat mesti menguasai bahasa negara yang sedia termaktub dalam perlembagaan. Bukannya majoriti yang mempelajari bahasa minoriti. Manakala, minoriti, langsung tidak berminat untuk menguasai bahasa majoriti, yang mana bahasa majoriti itulah yang menjadi bahasa negara.

Saya fikir, menteri seperti ini tidak layak menjadi Menteri perpaduan, sebab dia langsung tidak tahu agenda hidup bernegara.

Lebih malang lagi menteri ini baharu tahu bahawa ada pelajar Melayu berada di SJKC dan SJKT.

Berapa pula bilangannya, tidak pula disebut.

Ingin saya tegaskan di sini bahawa asas perpaduan adalah dengan mengamalkan agenda hidup bernegara seperti yang termaktub dalam Perlembagaan, melalui proses asimilasi.

Jika bahasa Melayu itulah adalah bahasa negara, suka atau tidak, semua rakyat mesti menguasainya tidak kira bangsa apa? Menguasai bahasa bermakna mengasimilasikan bahasa tersebut. Menjadikan bahasa tersebut sebagai cara hidup, bukan ikut keperluan atau tidak diendahkan langsung.

Masalahnya hari ini, golongan ultra kiasu, tidak mengendahkan langsung kepentingan bahasa kebangsaan sebagai bahasa negara. Mereka hanya bercakap bahasa ibunda sahaja di luar rumah. Yang pandai berbahasa Inggeris, akan terus menggunakan bahasa Inggeris. Teramat jarang menggunakan bahasa kebangsaan.

Sudahlah penempatan dan kawasan perumahan terpisah-pisahkan. Bilakah masa untuk berinteraksi, jika bukan dalam institusi Pendidikan seperti sekolah.

Takkan mahu memaksa Melayu dan Bumiputera selaku majoriti menguasai bahasa minoriti bagi tujuan interaksi dan mencapai perpaduan? Jangan jadi naif.

Buatlah kajian kenapa gagalnya lima (5) buah Sekolah Wawasan, menggabungkan semua sekolah SK+SJKC+SJKT, menggunakan satu kemudahan yang sama, bagi tujuan interaksi, yang didirikan pada zaman Tun Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri telah gagal?

Sekolah yang begitu baik ini telah diboikotkan oleh orang Cina ultra kiasu kerana mereka tidak mahu anak mereka bercampur gaul dengan anak Melayu, kerana takut dengan percampuran itu nanti, anak-anak mereka tidak pandai menguasai bahasa Cina dengan baik atau menjadi Cina pisang.

Maka, amat benarlah kata-kata Dr Mahathir, selaku negarawan ulung berpengalaman, punca sebenar masalah perkauman di negara ini, adalah disebabkan oleh kita dipisahkan oleh sistem Pendidikan berasaskan kaum.

Paling malang sekali, sudahlah sistem Pendidikan berasingan, mengikut kaum, kerajaan turut membiayai institusi perkauman ini dengan begitu banyak, tetapi tidak banyak perubahan yang dapat dilihat, dalam usaha mengasimilasikan bahasa negara sebagai cara hidup.

Kumpulan Cina ultra kiasu ini lebih bangga dan mendahulukan bahasa ibunda mereka sendiri dengan begitu ekstrem berbanding bahasa negara, sehingga ada yang tidak tahu langsung menggunakan bahasa negara. Apakah ini yang dikatakan perpaduan telah tercapai?

Sebenarnya, banyak lagi alat atau elemen perpaduan. Institusi pendidikan adalah salah satu daripada asasnya. Masalahnya, kita telah melakukan kesilapan daripada awal. Kita politikkan semua perkara dengan undi. Kita gadaikan bahasa negara dengan undi. Kita gadaikan agenda negara dengan undi. Akhirnya, kita masih gagal membentuk sebuah negara bangsa berasaskan perpaduan.

Prof Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button