Berita UtamaUtama

MCA tidak perlu takut jika PAS bekerjasama dengan UMNO

Ka Siong patut tumpu pulih sokongan Cina kepada BN, kata Tuan Ibrahim

KUALA LUMPUR, 20 Safar 1440H, Isnin – MCA tidak perlu menganggap PAS sebagai ancaman kepada mereka jika parti itu berkerjasama dengan UMNO, kata Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Timbalan Presiden PAS itu berkata, Timbalan Presiden MCA, Wee Ka Siong sebaliknya perlu lebih terbuka dan memikirkan cara untuk menambah serta menarik kembali sokongan pengundi yang lari kepada Pakatan Harapan (PH) sejak Pilihan Raya Umum (PRU) Mei lalu.

“Pada pilihan raya lepas, Barisan Nasional (BN) tumbang kerana parti itu hilang undi daripada orang Cina, khususnya kepada MCA. Saya fikir MCA perlu berbuat sesuatu untuk mendapatkan semula kepercayaan dalam kalangan pengundi Cina.

“Itu lebih baik daripada beliau melihat PAS sebagai satu ancaman,” katanya seperti dilapor portal tempatan.

Semalam, Ka Siong mengancam akan memutuskan hubungan dengan UMNO sekiranya parti itu mengikat kerjasama dengan PAS.

Beliau malah berkata, masa depan Barisan Nasional (BN) bukan terletak di tangan Presiden UMNO yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata demikian setelah Zahid mencadangkan agar BN dijenamakan semula dengan nama baru iaitu Perikatan 3.0 sebagai langkah menghadapi PRU ke-15.

Katanya, langkah itu turut akan menarik beberapa parti baharu termasuk PAS menyertai Perikatan 3.0 agar dapat menawan semula kerajaan pada PRU15 itu.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim bagaimanapun berkata, PAS masih belum memutuskan untuk mengadakan kerjasama dengan UMNO.

Tuan Ibrahim berkata, buat masa ini, PAS belum menerima sebarang surat daripada BN dan perbincangan dalam kalangan pemimpin PAS hanya akan dilakukan selepas menerima jemputan rasmi daripada parti itu.

“Kita perlu lihat dulu bentuk dan konsep yang dimaksudkan tentang penjenamaan semula BN itu. PAS ada tiga rakan gabungan dalam Gagasan Sejahtera, jadi kita akan teliti kerana BN perlu selesaikan masalah dalamannya dulu. Bagi pihak PAS, kita tiada masalah untuk berbincang dengan mana-mana pihak,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close