Berita UtamaDuniaUtama

Khashoggi akan dedah Arab Saudi guna senjata kimia serang Yaman: Akhbar

Sunday Express dakwa perisik British tahu lebih awal sesuatu akan berlaku

BANGI, 20 Safar 1440H, Isnin – Wartawan yang mati dibunuh di pejabat konsulat Arab Saudi di Istanbul 2 Oktober lalu, Jamal Khashoggi, dikatakan bakal mendedahkan maklumat sulit berkaitan penggunaan senjata kimia oleh Riyadh ke atas Yaman, lapor akhbar Britain.

Pada masa sama, laporan akhbar tabloid Britin, Sunday Express, semalam mendakwa perisik British lebih awal diberitahu mengenai rancangan pasukan khas Arab Saudi ke atas Khashoggi, beberapa minggu sebelum beliau dibunuh.

Akhbar yang kerap menyiarkan berita sensasi itu mendakwa memetik kenyataan sumber keselamatan bahawa ‘anggota keluarga diraja’ mengarahkan kolumnis The Washington Post itu diculik.

Mengaku sumber risikan British itu memberitahu mereka kelmarin, laporan yang ditulis oleh Editor Diplomatik, Marco Giannangeli berkata, perkhidmatan perisikan United Kingdom menyedari lebih awal ‘sesuatu akan berlaku’ tiga minggu sebelum Khashoggi berjalan memasuki konsulat itu pada 2 Oktober.

“Maklumat yang diperoleh, termasuk arahan menangkap Khashoggi dan membawanya pulang ke Arab Saudi untuk disoal siasat. Bagaimanapun, ‘pintu dibiarkan terbuka’ untuk pelaksanaan alternatif lain yang dilihat menjadi masalah besar.

“Kami tahu arahan itu datang daripada anggota keluarga diraja Arab Saudi, tetapi tiada maklumat kukuh yang mengaitkannya dengan Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

“Sama ada ini bermakna beliau bukan isu sebenar, kami tidak dapat katakan,” lapor Sunday Express.

Akhbar itu juga melaporkan sumber yang tidak dinamakan mengesahkan agensi perisikan British, MI6, telah memberi amaran kepada Arab Saudi supaya membatalkan rancangan itu, tetapi tidak dipedulikan.

“Pada 1 Oktober, kami semakin bimbang dengan pergerakan sekumpulan individu yang di antaranya dianggotai oleh ahli Ri’asat Al-Istikhbarat Al-‘Amah (GID) ke Istanbul, dan dengan jelas menunjukkan apakah sasaran mereka,” katanya. GID adalah agensi perisikan utama Arab Saudi.

Ditanya kenapa MI6 tidak memaklumkan kepada perisikan Amerika Syarikat (AS), beliau berkata, keputusan dibuat bahawa mereka hanya mampu melakukan apa yang terdaya.

Sementara itu, laporan akhbar berkenaan yang memetik rakan wartawan itu, turut mendakwa Khashoggi bakal mendapat maklumat dokumentari yang membuktikan Arab Saudi menggunakan senjata kimia dalam serangan di Yaman

“Saya menemuinya seminggu sebelum kematiannya. Beliau kelihatan tidak gembira dan bimbang. Apabila saya bertanya kenapa beliau bimbang, beliau mulanya enggan menjawab, tetapi kemudian memberitahu bahawa beliau akan mendapat bukti Arab Saudi menggunakan senjata kimia di Yaman,” kata rakan rapat Khashoggi yang didakwa sebagai ahli akademik.

Katanya, Khashoggi berharap akan mendapat bukti dokumentari berkaitan senjata kimia yang digunakan Arab Saudi ke atas Yaman.

Sunday Express juga melaporkan, bulan lalu ada dakwaan mengatakan Arab Saudi menggunakan peluru fosforus yang dibekalkan AS terhadap kumpulan bersenjata dan orang awam di Yaman.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close