Berita UtamaUtama

Azmin pula dahului Rafizi

Pemilihan PKR di Selangor memihak Menteri Hal Ehwal Ekonomi

SHAH ALAM, 20 Safar 1440H, Isnin – Penangguhan pemilihan PKR di cabang Kuala Selangor ternyata tidak menyekat penguasaan Datuk Seri Azmin Ali di Selangor, apabila beliau mendahului pencabar tunggalnya dalam saingan jawatan timbalan presiden, Rafizi Ramli pada fasa terakhir pemilihan yang berlangsung di lima cabang hari ini.

Ketua Koordinator PKR Selangor, Hassan Yusof berkata, Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu mendapat sokongan daripada semua cabang berkenaan – Tanjong Karang, Ampang, Pandan, Shah Alam dan Hulu Langat.

Azmin yang juga bekas Menteri Besar Selangor mendapat 4,138 undi sementara Rafizi memperoleh 2,097 undi.

“Keputusan ini bagaimanapun belum muktamad kerana masih ada lagi undi tidak dapat masuk ke dalam sistem,” katanya kepada Bernama.

Ini menjadikan undian terkumpul diperoleh Azmin setakat ini di Selangor berjumlah 18,453 undi, manakala Rafizi yang juga naib presiden PKR memperoleh 15,045 undi.

Terdahulu, pemilihan parti di cabang Kuala Selangor yang sepatutnya berlangsung hari ini terpaksa ditangguhkan ke tarikh lain kerana masalah ketiadaan isyarat telekomunikasi di pusat pengundian di Stadium Tertutup Kuala Selangor.

Polis kemudian mengesahkan mengenai penemuan alat penghalang isyarat telekomunikasi (jammer) di bahagian tempat duduk stadium berkenaan oleh petugas Majlis Daerah Kuala Selangor, ketika sedang melakukan kerja-kerja pembersihan.

Pada fasa pertama dan kedua pemilihan di Selangor sebelum ini, Azmin mendapat sokongan daripada 10 cabang – Sabak Bernam, Sungai Besar, Serdang, Subang, Kota Raja, Sepang, Gombak, Kuala Langat, Petaling Jaya (PJ) Utara dan PJ Selatan, sementara Rafizi memperoleh sokongan daripada enam cabang melibatkan Hulu Selangor, Kelana Jaya, Kapar, Klang, Puchong dan Selayang.

Selangor mempunyai keanggotaan paling ramai disahkan layak mengundi sebanyak 249,850 orang.

Dalam pada itu, kekalahan Rafizi kepada Azmin dalam saingan jawatan timbalan presiden di kubu kuatnya di cabang Pandan agak mengejutkan meskipun bekas anggota Parlimen Pandan itu berjaya memenangi jawatan ketua cabang apabila menewaskan tiga pencabarnya.

Bagi pemilihan di cabang Pandan, Rafizi memperoleh 508 undi sementara Mohamed Azmin mendapat 715 undi.

Namun, ketika mengulas mengenai kekalahan itu, Rafizi berkata, ia berlaku kerana pengundi dari cabang Ampang yang juga penyokong Azmin telah dipindahkan ke cabang Pandan.

Bagi pemilihan di cabang Ampang pula, Ketua Wanita PKR, Zuraida Kamaruddin yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menang tanpa bertanding jawatan ketua cabang. – Bernama

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close