Berita UtamaUtama

‘Rafidah bebal sejarah minta hentikan ketuanan bangsa’

Bekas menteri Kabinet mesti keluar dari kotak pemikiran UMNO

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 15 Safar 1440H, Rabu – Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Haji Aminuddin Yahaya menyelar kenyataan Tan Sri Rafidah Aziz yang mahukan rakyat Malaysia menghentikan laungan ‘ketuanan bangsa’, kononnya tidak produktif kepada negara.

Menyifatkan bekas menteri Kabinet sebagai bebal sejarah, katanya, Rafidah tidak boleh melihat ketuanan bangsa hanya dari aspek ekonomi semata-mata tanpa mengira agama.

“Adakah mereka yang bukan Islam boleh membawa agenda Islam? Ini persoalannya. Sudah pasti tidak, maka sebab itu negara mesti dipimpin oleh orang Melayu Islam.

“Kita lupa sejarah bahawa Melaka terkenal seluruh dunia sebagai sebuah pelabuhan tersohor dan terbesar ketika Kesultanan Melaka dan ia diperintah orang Melayu. Cuma penjajah yang merosakkan segalanya. Ertinya, Melayu boleh membawa negara ini hebat dan terkenal. Bukan membawa kerugian. Rafidah bebal sejarah,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas seruan Rafidah supaya laungan ‘ketuanan bangsa’ dihentikan, kerana menganggap ia merugikan dan tidak produktif kepada negara dan rakyat negara ini.

Ketuanan, katanya, mestilah selalu menjadi milik Malaysia sendiri dan bukan mana-mana kumpulan, kaum atau agama di kalangan rakyat.

Rafidah, yang pernah menjadi Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri selama 21 tahun hingga 2008 juga berkata, apa yang diperlukan negara yang berkerajaan baharu ialah tadbir urus ekonomi rakyat Malaysia yang baik dan bukannya ketuanan bangsa.

Mengulas lanjut Haji Aminddin berkata, bekas ketua wanita UMNO itu sepatutnya memahami bahawa konsep ketuanan bangsa dalam negara tidak membawa mesej perkauman.

Dari aspek kepimpinan katanya, Malaysia sebagai sebuah negara Islam, harus dipimpin oleh orang Islam, yang majoriti umatnya di sini adalah orang Melayu.

“Maka, orang Melayulah yang mesti memimpin negara. Ketuanan bangsa bukan soal diskriminasi, bahkan Islam menuntut keadilan untuk semua tetapi soal kepimpinan, ia mesti diterajui oleh orang Islam. Hal-hal lain boleh saja mereka yang bukan Islam bersama.

”Sejarah juga membuktikan negara ini hak orang Melayu dan Islam. Ia adalah asas perundangan semenjak Kesultanan Melaka, maka logiknya adalah orang Melayu mesti menerajui,” katanya.

Pada masa sama, Haji Aminuddin meminta Rafidah supaya keluar dari kotak pemikiran UMNO.

“Melayu bukan UMNO dan UMNO bukan Melayu. Melayu lebih besar daripada itu. Oleh kerana UMNO korup maka dipukul rata semua Melayu korup dan tak betul. Ini pandangan yang sangat salah. Walhal berjuta Melayu di luar sana yang bijak, bersih dan amanah,” katanya.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close