Berita Utama

Selangor laksana program isolasi pekerja warga asing kargo KLIA

Keadaan masih terkawal meski jumlah kes COVID-19 tinggi: MB

BANGI, 16 Rabiulakhir 1442H, Rabu – Sebanyak 11,000 orang yang bekerja di bahagian kargo dan 9,056 individu termasuk warganegara dan bukan warganegara telah menjalani ujian saringan COVID-19 sejak Oktober 2020 sehingga 1 Disember 2020. 

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hanya 7 kes positif telah dikesan semenjak 26 November 2020 di kalangan pekerja di kargo dan semuanya adalah di kalangan warganegara.

Beliau berkata, bagi mengelakkan penularan di kalangan pekerja bukan warganegara, suatu Program Isolasi telah dilaksanakan ke atas 247 pekerja bukan warganegara di bahagian kargo KLIA. 

Katanya, program ini telah pun bermula pada 26 November 2020 dan akan berlangsung selama 14 hari sehingga 9 Disember 2020.

“Program Isolasi ini adalah inisiatif Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan dalam membantu membendung penularan wabak antara pekerja-pekerja di lapangan terbang terutamanya dalam kalangan bukan warganegara.

“Sebanyak empat syarikat telah mengambil bahagian dalam siri pertama program ini dan melibatkan seramai 231 pekerja lelaki dan 16 pekerja wanita daripada negara Bangladesh, Nepal, India, Indonesia dan Pakistan. Kesemua pekerja ini ditempatkan di Tune Hotel Aeropolis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, saringan pertama telah dilaksanakan ke atas semua peserta program sekurang-kurangnya tiga hari sebelum peserta menyertai program ini dan kos saringan ditanggung oleh pihak syarikat.

“Manakala bagi kos penempatan peserta, pihak Kerajaan Negeri akan menanggung separuh daripada kos tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut mengarahkan Jawatankuasa Keselamatan Daerah/Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah untuk membuat penyelarasan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) agar saringan pekerja asing dilakukan.

Langkah itu dilaksanakan dengan kadar segera seperti yang diputuskan kerajaan Persekutuan.

Sementara itu, kerajaan negeri juga sedang mengenalpasti 4 hingga 5 lokaliti bagi menempatkan Pusat Rawatan dan Kuarantin Berisiko Rendah yang akan menempatkan pesakit-pesakit positif COVID-19 yang tidak bergejala (asymptomatic). 

Amirudin berkata, ia dilaksanakan bagi mengurangkan bebanan dan kepadatan hospital COVID-19 sedia ada.

“Kerajaan Negeri ingin mengambil kesempatan ini untuk memaklumkan pada orang ramai bahawa keadaan masih terkawal di Selangor walaupun jumlah kes COVID-19 yang tinggi kerana kes-kes terbaharu tersebut didapati di kawasan-kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Kerajaan Negeri percaya bahawa pelaksanaan tersebut akan dapat mengurangkan risiko perebakan wabak berkenaan.

“Semua inisiatif yang disebutkan terus memperlihatkan komitmen serius kerajaan negeri dalam usaha menjamin penularan pandemik ini agar ia dapat dikawal dan dikekang sepenuhnya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button