Pendapat

Rakyat mesti terima komitmen bebas asap rokok

Kempen kesedaran bahaya terdedah kepada asap rokok mesti diperluas

KOMITMEN Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad baru-baru ini yang mencadangkan pewartaan restoran terbuka dan Parlimen sebagai kawasan bebas asap rokok hendaklah disambut baik oleh seluruh rakyat Malaysia.

Ini menggambarkan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia pada setiap golongan daripada bayi hingga ke warga emas, agar bebas daripada ancaman bahaya asap rokok.

Dengan cadangan ini, kawasan bebas asap rokok akan bertambah lagi selain bangunan kerajaan, premis tertutup dan juga taman awam yang telah diwartakan sejak beberapa tahun lalu.

Rakyat perlu diberikan kesedaran yang meluas akan bahaya pendedahan asap rokok kepada anak-anak, remaja, wanita mengandung dan warga emas yang kebanyakannya adalah perokok sekunder (secondary smoker) kesan daripada aktiviti merokok golongan dewasa.

Kajian menunjukkan anak-anak mudah menerima penyakit asma, jangkitan dan paru-paru kronik akibat daripada keluarga yang merokok di dalam rumah.

Bayi dalam kandungan juga boleh menerima kesan daripada asap rokok antaranya menyebabkan kelahiran pra-matang dan bayi lahir tidak cukup berat. Akibatnya, anak-anak tidak membesar dengan baik dan rumah yang sepatutnya menjadi perlindungan buat mereka kini merosakkan masa depannya.

Kos perubatan bagi penyakit akibat daripada asap rokok seperti penyakit paru-paru kronik, barah dan serangan jantung sahaja, mencecah RM3 bilion setahun pada 2014 dan ia semakin meningkat saban tahun dengan peningkatan jumlah perokok daripada pelbagai golongan.

Kadar penyakit dan kematian akibat daripada asap rokok seperti strok dan serangan jantung semakin meningkat dan berlaku pada usia yang lebih muda, terutama di kalangan perokok tegar. Bukankah ini merugikan sumber tenaga dan kehilangan punca pendapatan kepada keluarga muda di Malaysia?

Justeru, Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Islam Malaysia (i-Medik) menyeru tindakan yang menyeluruh dalam menangani isu pendedahan asap rokok dan mengurangkan jumlah perokok di Malaysia dari sudut pendidikan, kempen kesedaran dan penguatkuasaan undang-undang yang lebih ketat dan berkesan.

Dr Mohd Ihsanuddin Abas
i-Medik Kuala Lumpur Selangor
(MBBS Monash University, Masters of Public Health UKM)

Penafian: Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close