Dr Ahmad Sanusi AzmiPendapatUtama

Munafiq si pemecah belah


1. RASULULLAH ﷺ melancarkan peperangan kepada Bani Mustaliq setelah agen perisikan kaum muslimin (Buraidah al-Aslami) mengesahkan bahawa al-Harith ibn Dirar (pemimpin Bani Mustaliq) merancang untuk menyerang Rasulullah ﷺ dan Madinah.

2. Dalam peperangan ini, berlaku beberapa insiden yang menarik untuk diteladani.

2.1 Pertama, berlakunya perselisihan antara Jahjah ibn Mas’ud (dari Muhajirin) dan Sinan ibn Wabr al-Juhani (dari kaum Ansar). Perselisihan ini berlaku di telaga al-Muraysi’ dan hampir mencetuskan peperangan di antara kaum Muslimin. Jahjah telah meminta bantuan kaum Muhajirn untuk berlawan dengan Sinan, begitu juga dengan Sinan. Sinan menyeru kaum Ansar untuk menyokong pergaduhan ini.

Mendengar pergaduhan ini, Rasulullahﷺ segera meleraikan dan menyifatkan pertengkaran ini sebagai sifat asabiyyah iaitu membantu kaum sendiri atas dasar kezaliman. Begitulah Rasulullahﷺ mendidik Muslim agar mengalah dalam perkara yang ranting dan mengutamakan kesatuan dan perpaduan Muslim.

3. Ketika perkara ini berlaku, Abdullah ibn Ubai (ketua Munafiq) merasa geram apabila melihat pergaduhan sesama Muslim ini tidak berlaku. Bahkan beliau merungut atas sikap Ansar yang selama ini banyak memberi bantuan kepada kaum Muhajirin.

4. Lihatlah sikap si munafiq ini. Mereka dari dahulu suka melihat perpecahan di kalangan Muslim berlaku dan mengambil kesempatan atas emosi dan perselisihan kaum Muslimin. Bahkan munafiq juga tidak suka melihat kebajikan yang dilakukan oleh kaum Ansar yang lebih banyak menguntungkan Islam. Muslim seharusnya bertindak dan menyokong pendirian yang memartabatkan Islam dan bertegas dalam perkara yang menguntungkan kafir dan kekufuran.

5. Insiden yang kedua pula berlaku setelah selesainya perang Bani Mustaliq ini. Kali ini, kaum munafiq bukan sahaja menimbulkan perpecahan dikalangan kaum Muslimin bahkan cuba mencalar kemuliaan keluarga Nabiﷺ. Saidatina Aisyah telah difitnah melakukan perbuatan yang tidak elok dengan Safwan ibn al-Mu’attal al-Sulami.

5.1 Lihatlah betapa jahatnya perancangan munafiq. Mereka bukan sahaja berusaha memecah-belahkan umat Islam, malah melemparkan fitnah kepada Rasulullahﷺ.

6. Hari ini kita dipecahkan oleh sesama Muslim. Ketahuilah bahawa perpecahan Muslim hanya menguntungkan si kafir sedangkan Rasulullahﷺ mendidik kita supaya bersatu dan mengalah dalam perkara yang menguntungkan Islam.

Kegagalan Muslim mencari titik persamaan dalam memartabatkan Islam hanya menyebabkan mereka menjadi lemah, bahkan Rasulullahﷺ turut dihina, malah Syariah Islam diperlekehkan.

Jangan sampai berlunak dengan kekufuran bahkan menekan agenda Islam sedang Allah memberi petunjuk yang jelas dalam Quran dan Sunnah.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close