Berita Utama

PRN Johor: Hasrat pembangkang buat ‘come back’ mungkin tak kesampaian

Rakyat serik 22 bulan di bawah pemerintahan pembangkang

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 16 Rejab 1443H, Jumaat – Impian pembangkang untuk melakukan ‘come back’ atau bangkit di Johor selepas dimalukan dalam tiga pilihan raya negeri (PRN) yang lalu berkemungkinan tidak akan kesampaian.

Mereka kini umpama ‘mati akal’ apabila tiada isu yang boleh dimainkan untuk membangkitkan kemarahan rakyat dalam usaha melobi undi seperti mana pernah dilakukan menerusi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pakar perundangan dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, perkara tersebut merupakan satu tamparan hebat kepada pembangkang pada ketika ini.

“Hari ini tiada lagi isu-isu serius yang boleh dibawa pembangkang untuk mencari silap, yang ada sekadar isu-isu remeh melibatkan harga telur dan perkara-perkara yang mudah sahaja yang langsung tidak menjadi racun kepada kerajaan.

“Hakikatnya, rakyat boleh menilai tindakan kerajaan dalam menyalurkan pelbagai bantuan untuk rakyat terutama mangsa-mangsa banjir dan bantuan susulan COVID-19.

“Semua ini tidak sebesar isu-isu seperti PRU14 lalu sehingga membuatkan rakyat nekad untuk berubah sekali gus mengangkat pembangkang menjadi pemimpin,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Selain itu, dakwa beliau, pengalaman buruk selama 22 bulan di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) juga mungkin memberi kesan kepada kepercayaan rakyat terhadap pembangkang.

Jelasnya, pengalaman tersebut membuatkan rakyat berasa serik dan tidak mahu lagi mengulangi kesilapan sama.

“Mereka sebenar cuba menggali kesalahan namun rakyat sebenarnya memerhati dan boleh menilai semua itu secara jelas.

“Kalau kita perhati, rakyat mula menilai kebolehan pembangkang ketika menjadi kerajaan dan dalam tempoh itu pelbagai kekurangan dan kelemahan muncul membuatkan rakyat tawar hati dan menilai dengan sebenar,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button