Berita UtamaUtama

PM ‘letak jawatan’ kecewa perbuatan pemandu teksi

Sekumpulan pemandu teksi menghamburkan kata-kata kesat, keluar dewan ketika Perdana Menteri beri penerangan di sebuah hotel hari ini

LANGKAWI, 12 Safar 1440H, Ahad – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad meluahkan hasrat meletakkan jawatannya selepas kecewa dengan tindakan sekumpulan pemandu teksi bertindak keluar dewan pada sebuah majlis dialog di sebuah hotel di sini sebentar tadi.

“Saya akan letak jawatan kalau tak nak saya jadi Perdana Menteri.

“Saya bukan nak jadi Perdana Menteri, saya dah bersara, dah orang panggil balik. Saya hari ni letak jawatan, tak ada masalah bagi saya,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Dr Mahathir dalam sesi dialog itu berkata, beliau berusaha untuk membantu semua pihak termasuk pemandu teksi.

Beliau berkata, Grab akan diminta menggunakan kenderaan yang diluluskan kerajaan, membayar insurans dan membayar cukai sama seperti teksi bagi memastikan persaingan adil.

“Saya pernah membangkitkan perkara ini dalam Kabinet. Saya beritahu Menteri (Pengangkutan) supaya memperbetulkannya, tetapi malang sehingga kini tiada kemajuan langsung.

“Saya akan usaha lagi. Saya pun rasa tidak adil. Perkara ini dalam perhatian saya tetapi saya tidak boleh bagi jaminan hapuskan Grab, tetapi kita boleh samakan mereka dengan teksi,” katanya.

Sesi dialog itu dihadiri hampir 200 pemandu teksi Langkawi yang mendakwa pendapatan mereka terjejas ekoran perkhidmatan Grab yang dikatakan ‘mencuri’ pelanggan.

Namun, suasana menjadi tegang apabila kira-kira 10 pemandu teksi bertindak mengeluarkan kata-kata kesat dan membuat bising sebelum keluar dewan ketika Dr Mahathir memberi penjelasan berhubung isu e-hailing.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close