Dr Ahmad Sanusi AzmiPendapatUtama

Aqidah, syariah dan moral saling berkait


1. SERINGKALI kita mendengar kenyataan yang memisahkan antara aqidah dan moral dalam sesuatu isu yang melibatkan undang-undang syarak. Kata mereka “biar aku tak pakai tudung, yang penting hati baik.”

2. Di dalam al-Quran, Allah memberikan gambaran bahawa aqidah, syariah dan moral adalah entiti yang tidak boleh dipisahkan. Sebagai contoh, ketika memberikan contoh wanita yang solehah dan wanita yang kufur kepada Allah, al-Quran menampilkan watak isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut sebagai contoh mereka yang kufur, manakala isteri Firaun dan Maryam pula diberikan status sebagai wanita yang akan ke Syurga. (Surah Tahrim)

3. Bagi isteri Firaun, beliau adalah contoh wanita yang terbaik dalam isu aqidah. Sekalipun berada di dalam rumah musuh aqidah yang paling dahsyat (firaun yang mengaku dirinya tuhan), isteri Firaun tetap utuh dengan aqidah dan keimanannya yang tidak tergoyah. Sebaik sahaja selesai menceritakan tentang isteri Firaun, Allah menampilkan pula karakter Maryam, wanita tauladan terbaik dalam isu moral, yang menjaga maruah dirinya sekalipun difitnah.

Kesatuan dua kisah ini dalam satu contoh seolah menggambarkan bahawa sifat wanita yang paling sempurna adalah yang menjaga aqidah dirinya, patuh pada syarak serta menjaga moral perlakuannya juga. Dalam perkara ini, isteri Firaun dan Maryam adalah contoh yang terbaik.

4. Manakala apabila menggambarkan contoh wanita yang kufur pula, Allah Taala menampilkan watak isteri Nabi Nuh dan isteri Nabi Lut. Nabi Nuh menghadapi cabaran yang sangat besar dalam menangani isu aqidah di zaman Baginda, manakala Nabi Lut pula bergelut dalam menyelesaikan isu moral luar biasa. Kedua-dua kisah ini seakan representasi kepada dua perbahasan pokok iaitu isu aqidah dan juga moral.

5. Dengan penampilan contoh-contoh ini, ia memberikan kita gambaran bahawa kesempurnaan seorang Muslim adalah terkait dengan perkara aqidah, syariah dan moral ini. Mempunyai aqidah yang sempurna, seorang wanita Muslimah akan menuruti Syariah serta menghiasi diri dengan akhlak yang baik.

Dengan itu adalah tidak benar sekiranya dikatakan: “Biarlah aku tak pakai tudung, asalkan hati bersih.” Hati bersih itu sudah tentu baik, namun, hati yang bersih juga akan memandu kepada kepatuhan kepada syarak.

6. Untuk menjadi warganegara yang baik, tidak memadai dengan hati yang baik sahaja. Apa guna sekiranya hati baik, tetapi melanggar undang-undang lampu isyarat jalanraya?

Begitu juga muslim yang baik, tidak memadai dengan hati sahaja, tetapi hendaklah dia mematuhi undang-undang Syariah.

Dr Ahmad Sanusi Azmi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close