Berita Utama

Vernakular: Kaki, tangan, jiwa pemimpin diikat kiasu

Pemimpin takut, tidak berjiwa besar lawan kumpulan antinasional

BANGI, 13 Muharram 1442H, Selasa – Ketiadaan pemimpin berjiwa besar menyukarkan usaha mengembalikan semula ‘roh’ asal pendidikan di negara ini.

Ketua Angkatan Pemuda-Pemudi BERJASA (ANGKASA), Hazwan Mohamad berkata, sedangkan Penyata Razak 1956 memiliki matlamat besar, malah pada ketika itu semua pihak bersetuju dengannya.

“Ketiadaan pemimpin yang berjiwa besar menyebabkan kita jauh dari beransur-ansur untuk melaksanakan tujuan ini, malah kita pula semakin ditolak beransur-ansur.

“Tidak ada lagi walau seinci ruang melepasi garis sempadan tanah Malaysia ini yang masih mengekalkan sistem vernakular, melainkan negara kita.

“Sistem yang selama ini menjadi batu tembok penghalang pada sebuah impian melihat anak bangsa Malaysia tidak terpisah-pisah dinding dan bumbung sejak usianya mengenal dunia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tegas Hazwan, rakyat mahukan pemimpin yang memiliki jiwa untuk melawan agenda sekumpulan manusia tidak sedar diuntung dan sering kali menuntut perkara antinasional.

“Kita juga perlukan keberanian untuk memilih pemimpin yang tidak diikat kaki dan tangannya serta jiwanya oleh sekumpulan manusia yang rasis dan kiasu,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yakin kerajaan hari ini tidak akan mengganggu peranan yang dimainkan oleh sekolah vernakular.

Saifuddin berkata, isu pemansuhan sekolah vernakular bukan satu keutamaan untuk dibahaskan buat masa ini kerana keutamaan kerajaan ketika ini untuk memberikan kualiti pendidikan yang terbaik.

Pada masa sama, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique memaklumkan bahawa kerajaan tidak akan mengubah sistem pendidikan negara dengan memansuhkan sekolah vernakular.

Halimah berkata, usaha memupuk perpaduan negara dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia berupaya dirintis menerusi kaedah lain.

Kenyataan itu bagaimanapun mendapat reaksi negatif pelbagai pihak yang mendukung hanya sekolah satu aliran sahaja diwujudkan di negara ini.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button