Berita UtamaDuniaUtama

Pindah kedutaan ke Baitulmaqdis: Indonesia beri amaran kepada Australia

Morisson sedang mempertimbang langkah mengikuti pendirian Trump

JAKARTA, 10 Safar 1440H, Jumaat – Indonesia memberi amaran kepada Australia susulan cadangan Perdana Menteri, Scott Morrison yang mahu memindahkan kedutaan ke Baitulmaqdis pada minggu ini.

Jurucakap Kementerian Luar Indonesia, Arrmanatha Nasir menegaskan, masalah Palestin adalah sangat penting dan sensitif bagi Indonesia.

Selain itu, Jurucakap Kementerian Pertahanan Indonesia, Brigadier Jeneral Totok Sugiharto turut memberi amaran kemungkinan mengkaji semula kerjasama ketenteraan bersama negara itu.

Sebelum ini, Morrison berkata, dia terbuka dengan cadangan bekas Duta Besar negara di Israel, Dave Sharma supaya memindahkan kedutaan ke Baitulmaqdis.

Katanya, Australia mengiktiraf Barat Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, sementara Timur Baitulmaqdis adalah milik Palestin.

Beberapa pengkritik tempatan telah bertindak balas terhadap keputusan itu, dan menggambarkannya sebagai taktik semata-mata untuk mendapatkan undi pada pilihan raya kecil yang akan datang, bagi kerusi Dewan Perwakilan Australia Wentworth.

Bekas Menteri Luar Palestin, Nabil Shaath juga mengutuk langkah itu sebagai penghalang untuk mencapai keamanan di rantau tersebur.

Pada masa sama, Pegawai Palestin juga telah melobi negara-negara Arab untuk mengkaji hubungan perdagangan dan politik mereka dengan Canberra.

“Jika ini adalah cara anda melakukan politik di Timur Tengah untuk memenangi pilihan raya kecil di Australia, maka izinkan saya menjadi sangat negatif terhadap dasar kerajaan Australia.

“Kami akan melakukan yang terbaik hingga ia akan menyebabkan kerosakan kepada hubungan Australia dengan dunia Arab,” kata Shaath.

Disember lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel, sekali gus mengumumkan pemindahan kedutaannya ke wilayah itu.

AS menjadi satu-satunya kedutaan asing di Baitulmaqdis selepas memindahkan pejabatnya secara rasmi pada Mei lalu, yang kemudiaan diikuti Guatemala serta Paraguay.

Tindakan itu telah mencetuskan kemarahan dunia Islam dan mendorong tunjuk perasaan besar-besaran di jalanan bagi membantah keputusan AS dan kekejaman yang dilakukan rejim pengganas Israel ke atas rakyat Palestin.- Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close