Kolumnis

Bergenerasi di Malaysia ultra kiasu masih tak faham sensitiviti Melayu Islam

Saban hari minoriti semakin kurang ajar, adab kamu di mana?

BAYANGKAN kalau saya datang ke upacara kematian orang Cina dengan memakai baju merah, sudah tentu tular satu Malaysia. Itu budayakan? Bukan agama? Kenapa dikatakan itu sensitif.

Baru ini tular seorang individu berpakaian mencolok mata di Minggu Fesyen Kedah 2022 (KFW2022), kali ini imej seorang model ‘menggayakan’ songkok dengan pakai separuh bogel.

Tindakan model tersebut memakai songkok, jaket lengan panjang tetapi tanpa baju dan berseluar pendek semasa acara Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2022 (KLFW 2022) dilihat seolah-olah mempersendakan agama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menyifatkan masyarakat Islam cukup marah dan kecewa apabila gambar tersebut tular. Malah, beliau menegaskan, sempadan batas agama, sensitiviti keagamaan dan kaum tidak perlu dibuat bahan mainan. Sehubungan itu, beliau menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan segera terhadap individu yang cuba melakukan provokasi tersebut.

Bagaimanapun, pereka fesyen berkenaan, Kel Wen, tampil mempertahankan diri dan memberi penjelasannya bahawa dia tidak berniat mempersendakan bangsa Melayu dan agama Islam.

Kel Wen kata fesyen yang digayakannya pada acara KLFW 2022 tidak keterlaluan seperti yang didakwa. “Saya tak pakai songkok dengan seluar dalam yang seksi atau mendedahkan mana-mana bahagian sensitif badan saya yang menunjukkan kebogelan. Saya hanya menunjukkan lutut seperti kebanyakan lelaki Melayu di luar sana yang menjadi fesyen pada hari ini. Pakai songkok dan nampak lutut adalah sama konsep dengan wanita berhijab yang memakai tudung tetapi leher terkeluar,”. “Saya bukan Islam, tetapi memakai songkok menandakan saya menerima dan mempelajari agama dalam gaya hidup peribadi saya sendiri. “Jika anda tidak boleh menerima, ia bermakna anda rasis dan itulah masalah sebenarnya di sini,” tegasnya.

Tambahnya, asal usul songkok bukanlah berasal dari masyarakat Melayu. Menurut pengetahuannya, songkok itu diperkenalkan oleh umat Islam India pada abad ke-19 dan menegaskan orang Melayu tidak memakai songkok pada zaman Kesultanan Melaka, sebaliknya orang Melayu pada zaman itu hanya memakai kain sarung dan topless.

Saya nak kata dia bodoh, nanti marah pulak. Ini bukan soal agama, budaya atau agama, ini soal sensitiviti.

Songkok ini sudah sinonim dengan masyarakat Melayu (Islam). Tidak kiralah asal usulnya daripada mana. Songkok ini letaknya di kepala, bukan dilutut. Sesuatu yang diletakkan di kepala, kalau ikut budaya dan cara hidup Melayu, benda itu mulia. Sama juga dengan kopiah dan jubah, pun bukan datang daripada budaya Melayu, tetapi sudah sebati dengan Melayu. Kopiah dimuliakan, letak pun di tempat atas, tidak boleh dipermainkan.

Macam bendera Malaysialah. Bukanlah berkaitan dengan agama sangat, tetapi lambang kedaulatan negara. Boleh dipermainkan. Diterbalikkan, diwarna hitamkan. Atau dibuat macam-macam seperti pernah dilakukan ultra kiasu. Tidak bolehkan? Islam atau bukan Islam kena hormat.

Sama juga isu songkok, kopiah, tarbush, apa yang lagi yang diletakkan di kepala.

Justeru, cara pemakaiannya perlu dihormati pun mungkin tidak ada kaitan dengan agama. Jika dipermainkan, ia menjadi suatu sensitiviti. Takkan itu pun tak faham.

Sama juga budaya menghadiri upacara kematian orang Cina atau bangsa lain sekalipun. Orang Melayu (Islam) biasanya jarang datang dengan baju merah, kerana mereka faham dan amat menghormati budaya orang lain, walaupun tidak ada kaitan dengan agama.

Kenapa orang Melayu (Islam) begitu memahami? Kenapa kamu yang tinggal bergenerasi di sini, hasil daripada kedatangan ke alam Melayu tidak pernah mahu cuba untuk memahami?

Bila aku puji Melayu, nanti kamu kata aku lebih Melayu dari Melayu. Kenapa kamu tidak tidak memahami sejarah dan asal-usul Melayu (Bumiputera) selaku penduduk majoriti?

Majoriti begitu memahami minoriti. Semakin hari minoriti semakin menjadi kurang ajar. Adab kamu di mana?

Bila Presiden PAS kata bukan Melayu dan bukan bumi, menjadi perosak perpaduan dan perosak ekonomi, kamu marah. Kamu tahu atau tidak selama ini, yang menimbulkan masalah perkauman dan yang merasuah orang Melayu dan Bumiputera siapa?

Kenyataan Presiden PAS itu dikatakan menyinggung perasaan orang bukan Melayu, malah boleh merenggangkan perpaduan antara kaum di negara ini.

Saya tidak nampak pandangan Presiden PAS itu salah, siapakah yang merasuah Melayu dan Bumiputera selama ini yang rata-rata bekerja dalam perkhidmatan awam, terutama jabatan kritikal seperti PBT, majlis daerah, pejabat tanah, polis, imigresen, pihak berkuasa yang mengeluarkan lesen dan sebagainya?

Siapakah yang selalu membangkitkan isu-isu sensitif berkaitan dengan hak istimewa Islam, Melayu dan Bumiputera, kalau bukan ultra kiasu.

Melayu yang terima rasuah ditangkap. Perasuah besar dalam kalangan mereka terlepas begitu sahaja.

Saya sokong kenyataan Presiden, saya amat alu-alukan ultra kiasu buat laporan polis.

Sebelum ultra kiasu membuat laporan polis, sila jawab pertanyaan ini.

Pertama, siapakah bapa rasuah yang merasuah orang Melayu selama ini terutama, pihak berkuasa, PBT, polis, bomba, kastam dan imigresen.

Kedua, projek-projek yang memerlukan kelulusan pihak berkuasa dan mendapat lesen siapakah bapak rasuahnya.

Ketiga, kes tanah Musang King dan banyak lagi Tanah Rizab Melayu yang tergadai, siapakah yang merasuah Melayu ini.

Keempat, dana pilihan raya, siapakah funder di belakangnya kalau bukan Melayu? Apakah kita ingat ‘funder’ yang memberi dana itu, percuma begitu sahaja. Mesti ada projek besar yang dia dapat.

Banyak lagi yang boleh dibuktikan.

Paling sedih, yang kena tangkap, selalu yang terima rasuah, orang Melayu. Ultra kiasu bapak segala rasuah terlepas.

Pergi tanya kepada polis dan kastam, kenapa sehingga ke hari ini susah sangat dadah untuk dibenteras. Siapa yang merasuah pihak berkuasa ini? Begitu juga dengan penyeludupan bahan-bahan terlarang.

Projek perumahan yang memerlukan kelulusan PBT, siapakah yang menjadi bapak perasuahnya?

Satu lagi, apakah ultra kiasu bukan perosak jika sentiasa membangkitkan isu-isu sensitif berkaitan Islam dan Melayu.

Saya mahu ingatkan bangsa saya sendiri, kalau mahu hidup aman dan tinggal lama di sini, jagalah sensitiviti bangsa majoriti. Majoriti cukup memahami minoriti. Persoalannya, kenapa minoriti semakin kurang ajar? Kamu seperti kaduk lupakan junjung. Kamu datang sehelai sepinggan, Melayu tatang kamu, sepatutnya kamu bantu mereka, tetapi kamu rosakkan setelah kamu mempunyai wang dan senang lenang. Wajarkah.

Melayu (Bumiputera) juga perlu sedar, jangan kamu jual kedaulatan negara dengan rasuah yang digula-gulakan, takut nanti, jadi seperti Palestin, ingat itu.

PROF DR MOHD RIDHUAN TEE ABDULLAH

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button