Berita UtamaDuniaUtama

Kes Jamal: Penyiasat masuk hutan, periksa rumah ladang

Pakar forensik Turki jumpa bukti pembunuhan di konsulat Arab Saudi

ANKARA, 9 Safar 1440H, Khamis – Polis Turki hari ini memperluaskan siasatan dan pencarian penulis Arab Saudi, Jamal Khashoggi, ke kawasan hutan Belgrad dan rumah ladang di wilayah Yalova, yang masing-masing jaraknya 28.5 kilometer dan 98.4 kilometer dari Istanbul, lapor akhbar tempatan, hari ini.

Akhbar harian Yeni Safak memetik sumber sebagai berkata, pihak polis tidak mengehadkan siasatan di bangunan Pejabat Konsul Besar Arab Saudi dan kediamannya di Istanbul sahaja.

Akhbar itu juga melaporkan pakar forensik menjumpai bukti pembunuhan di bangunan diplomatik berkenaan.

“Pasukan siasatan polis menumpukan kepada tingkat bawah rumah Konsul Besar Arab Saudi, Mohammad al-Otaibi. Pasukan penyiasat juga akan melakukan penggalian di hutan Belgrad dan sebuah rumah ladang di Yalova jika perlu,” lapor akhbar itu.

Mohammad dilaporkan telah pulang ke Riyadh dua hari lalu, sebelum kediamannya diperiksa oleh polis lebih lapan jam semalam dan hari ini.Media tempatan juga melaporkan, salah sebuah van yang membawa beberapa anggota ‘skuad pembunuh’ Arab Saudi dirakam berada di Yalova pada hari Jamal dilaporkan hilang.

Menteri Kehakiman Turki, Abdulhamit Gul dalam temu bual bersama agensi berita Anadolu berkata, kes itu disiasat secara mendalam dan hasil siasatan akan diketahui sedikit masa lagi.

Sementara itu, Al Jazeera melaporkan pasukan penyiasat memberi tumpuan siasatan di blok C bangunan pejabat konsul yang hanya dikhaskan kepada kakitangan diplomatik.

Memetik sumber, wartawan Al Jazeera, Charles Stratford berkata, pasukan penyiasat mempunyai bukti kukuh bahawa Jamal dibunuh di dalam blok bangunan berkenaan.

Jamal meninggalkan Arab Saudi tahun lalu, berikutan tindakan kerajaan Arab Saudi yang dikuasai Putera Mahkota Mohammed bin Salman, menangkap individu terkenal, termasuk anak raja, menteri, wartawan, ulama, aktivis dan jutawan, yang tidak sependapat dengan pemerintah.

Beliau adalah bekas Ketua Pengarang Kumpulan Watan dan pernah menjadi penasihat media kepada Putera Turki al-Faisal yang ketika itu menjadi Duta Arab Saudi di London dan Washington.

Jamal hidup di Amerika Syarikat (AS) dan menjadi kolumnis Washington Post, di mana dalam beberapa tulisannya beliau mengkritik polisi Arab Saudi terhadap Qatar dan Kanada, perang di Yaman serta tindakan terhadap wartawan serta aktivis di Arab Saudi.

Beliau yang dilaporkan bakal berkahwin dengan tunangnya seorang rakyat Turki, pada 28 September datang ke Pejabat Konsul Besar Arab Saudi di Istanbul, tetapi diarahkan datang semula pada 2 Oktober lalu, untuk mendapatkan dokumen perceraian isterinya, tetapi dikatakan tidak keluar dari pejabat itu.

Pihak berkuasa Turki percaya Jamal dibunuh di dalam pejabat berkenaan oleh sekumpulan perisik Arab Saudi yang diterbangkan khas dari Riyadh.

Bagaimanapun, Arab Saudi menafikan tuduhan itu dan mendakwa Jamal telah meninggalkan bangunan berkenaan. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close