Kata Pedang

Kepada agama manakah ucapan Ahli Parlimen Batu Kawan tujukan?

Penganut Buddha, Hindu, Kristian bebas bertukar-tukar agama

DALAM akhbar online Singapura, The Straits Times, ada kolum khas setiap hari – While You Were Sleeping – memaparkan lima berita yang berlaku di seluruh dunia, terutama ketika rakyat Singapura sedang tidur waktu malam. Biasalah, dunia berputar. Di sini malam, di tempat lain siang.

Di Malaysia juga ada siang dan malam. Kita malam tapi di tempat lain siang. Banyak perkara yang berlaku di tempat lain ketika rakyat Malaysia sedang tidur. Tapi, janganlah ‘tidur’ hingga tidak tahu apa yang berlaku di sekeliling kita.

Itu kisah ‘While You Were Sleeping’ dalam akhbar online Singapura.

Tetapi di Malaysia, Pedang ingin mengingatkan pemimpin-pemimpin Islam di dalam atau di luar kerajaan, bahawa ‘jika anda terus tidur’, anda pun terlupa kepada perintah mempertahankan Islam. Anda akan terlupa untuk mencegah kemungkaran. Anda akan terlupa sebab anda hidup di bumi Allah ini.

Apabila ada pihak yang mempertikaikan mengenai Islam, sama ada secara tersurat atau tersirat, pemimpin Islam yang dilantik menjadi wakil rakyat tidak bersuara, kerana ‘mereka sedang tidur’. Ada yang mata mereka celik, tapi hati mereka telah tertutup.

Tapi, biarkanlah mereka terus tidur. Lagipun, sejak kebelakangan ini mereka hanya peduli dan meraikan hal-hal duniawi. Mereka asyik nak jaga agama lain, sedang ancaman terhadap agama Islam tidak mereka tepis.

Biarlah Pedang dan rakan-rakan yang mempertahankan agama Persekutuan ini. Dalam setiap zaman sentiasa ada mereka yang mempertahankan Islam. Mudah-mudahan Pedang tergolong dalam kumpulan mereka itu. Insya-Allah.

Pedang ingin mengingatkan Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

Daripada peruntukan Perlembagaan itu jelas menunjukkan kebebasan beragama sentiasa diberikan kepada rakyat Malaysia. Anda bebas untuk memeluk apa agama sekalipun, waima jika ada puak yang mendakwa agama mereka menyembah siput babi, maka anda bebas untuk masuk agama mereka dan menyembah siput babi.

Tetapi, jika anda menerima pakai Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, terutama dalam bab mengizinkan agama selain Islam diamalkan dengan aman dan damai, maka anda juga mesti meratifikasi perkara yang memperuntukkan Islam adalah agama Persekutuan, serta perkara-perkara lain berkaitan Islam yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, termasuk Perkara 11(4).

Jika anda tidak boleh menerima pakai peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang di Malaysia, sedangkan anda adalah rakyat Malaysia yang tinggal di Malaysia, kenapa perlu sibuk untuk meratifikasi tuntutan atau undang-undang di tempat lain.

Perlembagaan Persekutuan memberi kebebasan beragama. Kaum Cina, India atau yang lain, bebas untuk beragama. Penganut Hindu atau Buddha bebas untuk masuk Kristian, begitu juga orang Kristian bebas untuk masuk apa saja agama. Apa lagi yang nak?

Adakah Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuriraani a/p Patto, tidak mengetahui mengenai Perkara 3(1) dan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan? Pedang rasa sudah tentu beliau mengetahuinya. Lagipun, kerana mengetahui kebijaksanaan beliau lah pengundi di Batu Kawan memilihnya menjadi wakil rakyat.Oleh itu, kenapa perlu dipersoalkan lagi mengenai kebebasan beragama di Malaysia?

Yang menimbulkan persoalan ialah ucapan beliau di Dewan Rakyat itu ditujukan kepada siapa dan agama mana? Agama mana di Malaysia ini yang tidak membenarkan penganutnya bebas bertukar agama? Buddha? Hindu? Kristian? Sikhism? Bukan.

Agama yang tidak membenarkan penganutnya bertukar agama ialah Islam, sedangkan kesamarataan yang disebut dalam deklarasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu ialah kebebasan beragama oleh semua individu, yang juga bermaksud orang Islam, orang Melayu, bebas memeluk apa saja agama.

Keluar daripada Islam dipanggil murtad. Dalam Islam ada hukum berkaitan orang yang murtad. Keluar daripada agama Hindu, Kristian atau Buddha, Pedang tak tahu dipanggil apa.

Justeru, ucapan Kasthuriraani a/p Patto yang meminta kerajaan menandatangani dan meratifikasi United Nations Declaration on the Elimination of All Forms of Intolerance and of Discrimination Based on Religion or Belief – yang di dalamnya terkandung prinsip untuk menghalalkan murtad – ditujukan kepada siapa?

Antara yang ditetapkan dalam deklarasi itu boleh dikatakan hampir semuanya bertujuan memberi kebebasan beragama. Rujuk Declaration on the Elimination of All Forms of Intolerance and of Discrimination Based on Religion or Belief

Suka Pedang ingatkan mengenai:

Perkara 11: Kebebasan Beragama

(1) Tiap-tiap orang berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkannya.

(2)…..

(3)……

(4) Undang-undang Negeri, dan berkenaan dengan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, undang-undang Persekutuan boleh mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.

Perkara 12 (3) pula menyatakan bahawa tiada sesiapa pun boleh diwajibkan menerima ajaran-ajaran mengenai apa-apa agama atau mengambil bahagian dalam apa-apa upacara atau sembahyang sesuatu agama yang lain daripada agamanya sendiri.

Perkara 150 (6A), jelas memelihara hal ehwal Islam walaupun dalam keadaan darurat yang memberi kuasa kepada pihak eksekutif untuk membuat undang-undang yang pada keadaan biasa, undang-undang hanya boleh dilakukan di Parlimen dan Kerajaan Pusat boleh mengambil alih pemerintahan kerajaan negeri.

Perkara 160 Perlembagaan mentakrifkan orang Melayu sebagai seseorang yang menganuti agama Islam.

Umumnya, mahkamah sivil menyerahkan kepada Mahkamah Syariah apa-apa kes yang berkaitan dengan keluar daripada agama Islam, dan Mahkamah Syariah pula enggan membenarkan sesiapa keluar daripada agama Islam.

Jelas Perlembagaan Persekutuan menetapkan hal ehwal yang berkaitan dengan agama Islam diberi status yang tinggi. Justeru, kepada siapa dan agama mana ucapan itu ditujukan?

Kata Pedang: Umat Islam di Malaysia tak ada pula yang cucuk agama lain, sama ada tersurat atau tersirat.

P/S: Terima kasih kepada barisan peguam yang berdiri di belakang ismaweb.net.

Kata Pedang adalah segmen lidah pengarang ismaweb.net yang tiada kaitan dengan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close