Berita UtamaUtama

PAC panggil Najib, Irwan isu wang pulangan GST hilang

Bayaran balik belum dijelaskan RM19.39 bilion, duit ada RM1.486 bilion

KUALA LUMPUR, 8 Safar 1440H, Rabu – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Mohd Irwan Serigar Abdullah akan dipanggil memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), minggu depan.

Pengerusi PAC, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee mengesahkan kedua-dua mereka dijangka hadir di hadapan jawatankuasa bagi menjelaskan ‘kehilangan’ RM19.4 bilion wang pulangan kredit Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Menurut kenyataan media PAC pada 16 Oktober, Irwan akan memberi keterangan pada 23 Oktober, manakala Najib akan berbuat demikian pada 24 Oktober.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng juga akan hadir di hadapan jawatankuasa itu pada 30 Oktober untuk memberi maklum balas mengenai isu itu.

Pada Ogos lalu, Dewan Rakyat diberitahu bahawa kerajaan terdahulu tidak dapat mengembalikan kredit cukai kepada syarikat-syarikat akibat perlaksanaan GST, kerana 93 peratus daripada wang itu tidak diletakkan di dalam akaun yang betul.

Lim mendakwa, sejumlah RM18 bilion daripada RM19.4 bilion kredit cukai input di bawah GST telah ‘dirompak’ oleh pentadbiran terdahulu.

Katanya, sehingga 31 Mei, bayaran balik GST yang belum dijelaskan adalah RM19.39 bilion, sedangkan baki dana pembayaran balik hanya berjumlah RM1.486 bilion.

Lim berkata, daripada jumlah kredit cukai input, RM9.2 bilion atau 47 peratus dicatatkan antara 1 Januari dan 31 Mei tahun, RM6.8 bilion atau 35 peratus pada 2017, RM2.8 bilion (15 peratus) pada 2016 dan RM600 juta (3 peratus ) pada 2015 (dari 1 April hingga 31 Disember 2015).

Sistem percukaian GST membenarkan peniaga menuntut semula kredit bagi cukai yang dibayar atas pembelian, tertakluk kepada pemfailan dokumen cukai input.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close