Berita Utama

Jarak terlalu jauh punca lebih 200 anak orang asli tak bersekolah

Komuniti orang asli gesa kerajaan bina 'sekolah mini' di penempatan mereka

GUA MUSANG, 7 Safar 1440H, Selasa – Lebih 200 kanak-kanak Orang Asli berumur sembilan tahun ke bawah di Kampung Kuala Koh dan Aring 5 di Pos Lebir di sini tidak dapat memasuki alam persekolahan seperti kanak-kanak lain ekoran jarak sekolah yang terlalu jauh dari kawasan penempatan mereka.

Sekolah terdekat iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Linggi, terletak kira-kira 90 kilometer dari kawasan penempatan mereka dan ini menyukarkan ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah pada usia yang terlalu muda.

Justeru, ibu bapa di kawasan tersebut mendesak kerajaan supaya membina ‘sekolah mini’ di kawasan penempatan itu, bagi keperluan pembelajaran kanak-kanak berusia enam hingga sembilan tahun itu, sebelum mereka mampu berdikari untuk tinggal di asrama.

Seorang penduduk, Samat Along, 48, dari Kampung Kuala Koh kebanyakan masyarakat Orang Asli yang tinggal di dua penempatan tersebut adalah daripada suku Batik dan perkara itu berlarutan sejak sekian lama.

“Ibu bapa memilih untuk menghantar anak-anak ke sekolah pada umur 10 tahun kerana pada usia itu , mereka telah mula pandai untuk berdikari.

“Adalah lebih baik kerajaan membina sekolah di kampung terbabit untuk anak kami berumur enam hingga sembilan tahun bersekolah dan boleh diuruskan ibu bapa masing-masing setiap hari,” katanya ketika ditemui pemberita di kampung tersebut di sini, hari ini.

Sabri Sabtu, 30, dari Kampung Aring 5, berkata kedudukan sekolah tersebut amat jauh sehingga menyukarkan ibu bapa menghantar dan mengambil anak-anak mereka terutama yang berusia di bawah sembilan tahun.

“Kalangan ibu bapa juga risaukan keselamatan anak-anak mereka yang masih kecil jika tinggal di asrama, justeru kami memohon supaya kerajaan mempertimbangkan untuk membina sebuah ‘sekolah mini’ di kawasan ini bagi menempatkan kanak-kanak berusia di bawah sembilan tahun,” katanya. – Bernama

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close