Berita Utama

Kompaun RM10,000 boleh dirayu turun hingga RM200?

Tindakan bagi kesalahan berulang, cetus penularan wabak sahaja

BANGI, 15 Rejab 1442H, Sabtu – Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menjelaskan kompaun RM10,000 yang berkuat kuasa 11 Mac ini hanya dikenakan terhadap individu melakukan kesalahan berulang dan kesalahan yang boleh mencetuskan penularan wabak COVID-19.

Jelasnya, kenaikan kompaun berkenaan bukan dikenakan bagi kesemua kesalahan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Katanya lagi, polis akan mengeluarkan tawaran kompaun berkenaan berdasarkan rekod yang mereka ada.

“Kita akui ramai yang salah faham dan bimbang dengan jumlah kompaun sehingga RM10,000. Namun ia bukan dikenakan kepada semua kesalahan termasuk gagal memakai pelitup muka.

“Sebaliknya, untuk kesalahan tertentu iaitu mereka yang degil dengan melakukan kesalahan berulang serta mereka yang melanggar SOP termasuk rentas negeri sehingga menyebabkan berlakunya penularan COVID-19,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Bagaimanapun katanya, individu yang dikenakan kompaun RM10,000 itu boleh membuat rayuan untuk pengurangan kompaun kepada Kementerian Kesihatan (KKM).

“Mungkin daripada kompaun RM10,000, hanya dikenakan RM200 sahaja selepas rayuan dan alasan yang diberikan,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan individu yang melanggar peraturan atau SOP ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik COVID-19 akan berdepan kompaun sehingga maksimum RM10,000.

Syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan sama pula boleh dikenakan kompaun sehingga maksimum RM50,000.

Ketika ini, individu dan syarikat yang melakukan kesalahan itu hanya dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

Kadar kompaun baharu itu akan berkuat kuasa mulai 11 Mac ini mengikut Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan pada Khamis lalu.

Kadar kompaun terbabit dinaikkan susulan penggantian Seksyen 25 yang memberi kuasa kepada ketua pengarah kesihatan atau mana-mana pegawai kesihatan yang diberi kuasa oleh pendakwa raya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button