Berita UtamaDuniaUtama

Zionis sekat minyak ke Gaza

Hospital di Semenanjung Gaza terjejas akibat kurang bahan api

GAZA, 4 Safar 1440H, Sabtu – Rejim pengganas Israel mengarahkan penghantaran bahan api ke Semenanjung Gaza disekat berkuat kuasa serta-merta – arahan yang dikeluarkan Menteri Pertahanan rejim Zionis, Avigdor Lieberman, semalam.

Tindakan itu dikatakan dibuat sebagai tindak balas terhadap warga Palestin yang menyerang askar dan orang awam Israel.

Pengumuman itu juga menyusul pembunuhan tujuh warga Palestin yang mengadakan tunjuk perasaan berhampiran pagar sempadan Gaza-Israel, semalam.

Berikutan itu, rejim pengganas Israel menutup satu-satunya pintu sempadan ke Gaza untuk membawa bahan api, tindakan sama yang pernah dilakukan pada Julai dan Ogos lalu.

Bulan lalu, Qatar, satu-satunya negara Arab, bersetuju menanggung perbelanjaan bahan bakar di loji janakuasa tunggal di semenanjung yang dikepung itu.

Bahan bakar itu mula tiba Selasa lalu dalam usaha meringankan masalah kemanusiaan dan mengelak sebarang peningkatan dalam keganasan Israel-Palestin.

“Minyak dari Qatar untuk janakuasa di Gaza bertujuan menambah bekalan elektrik sedia ada,” kata jurucakap Pergerakan Perjuangan Islam Palestin (Hamas), Hazem Qassem.

Sebelum ini, Kementerian Kesihatan Palestin mengumumkan penggantungan operasi 16 hospital dan pusat kesihatan di seluruh Semenanjung Gaza, berikutan kekurangan bekalan elektrik dan minyak.

Jurucakap kementerian itu, Ashraf Al-Qidra berkata, penjana elektrik di tiga lagi pusat kesihatan di Gaza juga sudah terhenti menyebabkan operasinya terpaksa dihentikan.

Sebelum pengumuman penggantungan itu dibuat, Al-Qidra memaklumkan bahawa operasi 13 hospital dan pusat kesihatan terganggu disebabkan alasan sama iaitu kekurangan bekalan elektrik dan minyak.

Beliau memberi amaran bahawa penggantungan operasi di hospital akan secara langsung menjejaskan kesihatan pesakit di wilayah yang diduduki itu, sejak rejim pengganas Israel mengepung kawasan berkenaan pada 2007.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melaporkan bahawa hospital di Gaza berdepan kesukaran untuk menangani pesakit sejak lebih sebulan lalu.

WHO juga berkata, langkah memotong bekalan elektrik meningkatkan beban sektor kesihatan, yang sebelum ini sudah mengalami kekurangan peralatan dan ubat-ubatan. – Agensi

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close