Berita UtamaUtama

Terengganu pertimbang cadangan wujud pusat khas untuk pesalah syariah

Kerajaan negeri bincang baik, buruk pelaksanaan tempat hukuman berasingan antara pesalah syariah dan sivil

KUALA TERENGGANU, 4 Safar 1440H, Sabtu – Kerajaan negeri memandang serius cadangan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu supaya mewujudkan pusat khusus bagi menempatkan pesalah syariah.

Serentak itu, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan menyeluruh dengan mengambil kesan baik dan buruk cadangan berkenaan.

“Kita akan berbincang buruk baiknya sama ada ia dalam ruang lingkup kerajaan negeri atau ada membabitkan peruntukan tertentu Kerajaan Pusat.

“Ini semua akan kita lihat secara menyeluruh. Kita tidak mengejar waktu dan akan dibincangkan bila tiba masa sesuai,” katanya kepada pemberita selepas melepaskan peserta Hari Sukan Negara Peringkat Terengganu 2018 di Dataran Batu Buruk di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Hakim Syarie Terengganu, Kamalruazmi Ismail, mencadangkan supaya diwujudkan pusat tahanan khas untuk menempatkan pesalah syariah menjalani hukuman secara berasingan daripada pesalah sivil di penjara kerana pendekatan pemulihan adalah berbeza.

Cadangan itu dikemukakan beliau ketika membacakan penghakiman terhadap seorang wanita berusia 45 tahun yang dituduh melakukan perbuatan sebagai persediaan untuk melacurkan diri.

Kamalruazmi berkata, cadangan itu bertujuan memberi pemulihan akhlak dan akidah kepada pesalah syariah serta mengelakkan mereka ditempatkan di penjara sama dengan pesalah jenayah berat seperti rogol atau samun.

Rabu lalu, seorang janda menjadi individu keempat di negeri itu yang dijatuhi hukuman sebatan syariah oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, di sini, selepas mengaku salah atas pertuduhan persediaan melacurkan diri.

Mahkamah juga memerintahkan wanita berusia 45 tahun itu disebat sebanyak empat kali dan menjalani pemulihan selama enam bulan di Pusat Perlindungan Wanita Baitul Ehsan, Sabak Bernam, Selangor.

Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Back to top button
Close