Berita UtamaUtama

Tiada premis anjur Oktoberfest di Terengganu

Wakil kerajaan negeri buat kunjungan di premis yang didakwa akan menganjurkan pesta arak

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

KUALA TERENGGANU, 3 Safar 1440H, Jumaat – Kerajaan Terengganu hari ini menegaskan dakwaan kononnya terdapat premis di negeri ini akan menganjurkan festival arak, Oktoberfest adalah tidak benar.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Ariffin Deraman berkata, kerajaan negeri menerusi wakilnya sudah membuat kunjungan terhadap premis yang didakwa akan menganjurkan pesta itu bagi mendapatkan penjelasan.

“Hasil daripada kunjungan tersebut didapati bahawa premis yang dinyatakan itu sememangnya telah memiliki lesen untuk menjual minuman keras, namun pemiliknya mengesahkan tiada sebarang sambutan Oktoberfest seperti yang didakwa.

“Sehingga kini, kerajaan negeri tidak menerima sebarang permohonan daripada mana-mana pihak untuk tujuan penganjuran Oktoberfest di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan media yang dimuatnaik di laman Facebook serta Instagram milik Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, hari ini.

Justeru, katanya, kerajaan negeri akan sentiasa memantau dari semasa ke semasa bagi memastikan tiada penganjuran program berkenaan di Terengganu.

Semalam, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, pihaknya telah mengenalpasti enam tempat yang akan menganjurkan pesta arak Oktorberfest tahun ini.

Namun, beliau berkata, polis belum menerima permohonan penganjuran pesta daripada penganjur.

“Tak ada permohonan dibuat kepada kita tetapi kita tahu tentang perkara ini,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close