Uncategorized

‘SOP anjur pesta arak patut lebih ketat daripada cegah khalwat’

Oktoberfest: Kerajaan PH mudahkan kemungkaran berleluasa

Oleh Siti Fatimah Ishak

BANGI, 3 Safar 1440H, Jumaat – Pemuda Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) kecewa dengan kerajaan Pakatan Harapan yang mudah menghalalkan kemungkaran berlaku di negara ini.

Merujuk kepada penganjuran Oktoberfest, Ahli Jawatankuasa Pusat Pemuda Isma, Ustaz Ibrahim Hassan berkata, kerajaan dengan mudah membenarkan pesta arak diadakan, hanya perlu adanya permit tanpa memikirkan kesan kepada masyarakat.

Dalam kes ini katanya, kerajaan sepatutnya menetapkan prosedur operasi standard (SOP) menganjurkan pesta arak lebih rumit berbanding prosedur SOP mencegah khalwat.

“Segala kemungkaran dan kerosakan mesti disekat terus oleh pihak berkuasa. Jika ia dibenarkan sekali pun dalam kuantiti dan penggunaan yang terhad. Prosedur juga diperketatkan supaya kesan negatif itu tidak merebak kepada masyarakat.

“Lebih menghairankan lagi apabila prosedur pencegahan khalwat pula dijadikan polemik dan dirumitkan seolah-seolah ia merupakan masalah kepada mereka yang berkhalwat.

“Sebagai anak muda, kita merasakan kerajaan PH hari ini lebih suka kemungkaran dipermudahkan manakala mencegah kemungkaran pula sengaja dirumitkan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net hari ini.

Sebelum ini, Menteri Wilayah Pesekutuan, Khalid Samad berkata, penganjur pesta arak boleh membuat permohonan permit dan mematuhi syarat yang ditetapkan, sekiranya mahu mengadakan Oktoberfest 2018.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan mengesahkan perkara sama, bahawa pihaknya tidak menghalang pesta arak, selagi ia diadakan secara tertutup dan tidak melanggar undang-undang.

Kesal dengan situasi itu, Ustaz Ibrahim berkata, semua agama dan bangsa secara umumnya menolak arak sebagai minuman, kerana ianya adalah kemungkaran yang membahayakan kesihatan manusia dan memberikan kesan negatif kepada masyarakat.

Katanya, kerap kali berita melaporkan kes kemalangan, kecelakaan dan pergaduhan disebabkan oleh peminum arak yang mabuk.

“Kemungkaran yang dilakukan oleh individu di ruangan peribadi akhirnya akan memberi kesan juga terhadap masyarakat awam.

“Apatah lagi apabila arak dijadikan pesta yang terbuka kepada masyarakat awam seolah-olah ianya diterima oleh majoriti masyarakat,” katanya.

Oktoberfest: Kerajaan PH ‘belai’ golongan liberal

 

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close