Berita Utama

PRK PD: Penyokong parti diingatkan tidak cetus provokasi

SPR ingatkan 68,317 pengundi datang awal esok

PORT DICKSON, 3 Safar 1440H, Jumaat – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan penyokong parti politik yang bertanding untuk tidak mencetuskan provokasi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, esok.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Othman Mahmood berkata, pihaknya mahu PRK yang berlangsung esok berjalan dengan baik, dan proses pengundian dilaksanakan secara aman tanpa insiden tidak diingini.

Katanya, seramai 68,317 pengundi layak mengundi, manakala 1,403 petugas akan ditempatkan di 154 saluran di 32 pusat mengundi di daerah ini.

“Kita berharap pengundi akan keluar awal pagi walaupun waktu mengundi dilanjutkan dari jam 8 pagi sehingga 5.30 petang kerana keadaan cuaca yang diramal hujan pada waktu petang.

“Pengundi diharap dapat membuat semakan maklumat daftar pemilih lebih awal melalui portal www.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak, talian 03-88927018 atau SMS ke 15888,” katanya.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya daripada PKR, Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 September lalu untuk memberi laluan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) dan kembali ke Dewan Rakyat.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru antara Anwar; bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad; calon PAS, Lt Kolonel (B) Mohd Nazari Mokhtar; Lau Seck Yan, personaliti media sosial, Stevie Chan Kee Leong dan Kan Chee Yen.

Seorang lagi calon ialah bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pada 2008 Saiful mendapat perhatian apabila beliau menuduh Anwar meliwatnya di sebuah kondominium di Damansara, mencetuskan kes sensasi di mahkamah negara ini.

Pada 2012, Mahkamah Tinggi membebaskan Anwar daripada kes liwat itu.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan pada Mac 2014 mengetepikan keputusan itu dan Anwar dijatuhi hukuman lima tahun penjara menyebabkan beliau tidak dapat bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close