Berita UtamaUtama

MTUC desak gaji minimum disemak semula

Kenaikan RM50 tak masuk akal, tidak selari dengan kos sara hidup rakyat

KUALA LUMPUR, 3 Safar 1440H, Jumaat – Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) akan menyerahkan memorandum bantahan gaji minimum baru RM1,050 kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Parlimen pada 17 Oktober ini.

Setiausaha Agung MTUC, J Solomon, berkata, ia merupakan satu inisiatif supaya gaji minimum itu dapat disemak semula.

Katanya, pengumuman kenaikan sebanyak RM50 sahaja dianggap satu tindakan yang tidak masuk akal memandangkan kos sara hidup semakin meningkat ketika ini.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) adalah (sama seperti) kerajaan dulu yang menekankan untuk berkongsi kekayaan dengan masyarakat, namun tindakan mereka tidak sama seperti apa yang dilaungkan sebelum ini.

“Alasan yang diberi, bahawa produktiviti tidak meningkat setanding dengan gaji, tidak boleh lagi diterima memandangkan sejak tahun 2000 produktiviti pekerja sangat tinggi.

“Sehubungan itu, pihak syarikat membuat keuntungan berganda, namun kebajikan gaji pekerja tidak dipandang oleh mereka. Ini adalah suatu yang tidak adil,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai Bantahan Gaji Minimum RM1,050 di sini, hari ini.

Solomon berkata, pihaknya juga menuntut supaya laporan jawatankuasa penyelarasan gaji minimum dijadikan laporan umum kerana yakin jumlah gaji dinyatakan jauh lebih tinggi daripada apa yang diumum.

“RM1,050 itu adalah tuntutan yang dibuat oleh majikan, bukannya daripada pekerja, namun saya percaya gaji minimum sekurang-kurangnya RM1,500 hingga RM1,800 harus diberikan kepada pekerja.

“Kerajaan perlu faham kerana mereka kini ‘menyakiti’ pekerja. Jadi saya harap satu gaji yang lebih tinggi dan munasabah akan diumumkan nanti,” katanya.

Sebelum ini, Pejabat Perdana Menteri, dalam satu kenyataan mengumumkan penetapan kadar gaji minimum seragam bagi seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak RM1,050 sebulan atau RM5.05 sejam berkuat kuasa 1 Januari 2019.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close