Berita UtamaUtama

Mana janji nak hapus tol, sindir Najib

Bekas PM kata kerajaan PH tak ikhlas, hanya mahu kuasa semata-mata

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 3 Safar 1440H, Jumaat – Datuk Seri Najib Razak menyifatkan kerajaan Pakatan Harapan (PH), di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad bersikap putar belit apabila mengumumkan penghapusan kutipan tol agak mustahil untuk dilaksanakan. 

Bekas perdana menteri dalam satu kenyataan di laman Facebook hari ini berkata, sebelum PH menjadi kerajaan, janji menghapuskan tol dicanang-canangkan pihak itu.

“Dulu sebelum jadi kerajaan, janji hapus tol. Siap kata kerajaan cuma perlu berapa ringgit saja untuk buat sedemikian.

“Putar belit setiap hari padahal dia yang beri konsesi berat sebelah. Tapi kerajaan Barisan Nasional (BN) dan saya yang dipersalahkan, walhal hampir setiap tahun saya umum hapus tol di beberapa kawasan.

“Bukan main memekik Puchong dan Simpang Renggam sampai buat video dan poster berjuta-juta orang ‘like’ dan tonton. Hari ini, apa cerita?,” sindirnya.

Beliau berkata, perkara ini berlaku apabila janji yang dibuat tidak ikhlas untuk rakyat, tetapi semata-mata tamakkan kuasa.

Bernama hari ini melaporkan, Dr Mahathir berkata, pembinaan lebuh raya tanpa mengenakan kutipan tol tidak mungkin dapat diwujudkan.

Perdana menteri mendedahkan, beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan ikrar lebuh raya bebas tol yang terkandung dalam manifesto pilihan raya Pakatan Harapan (PH).

“Kami mewujudkan manifesto itu dengan memikirkan bahawa kami tidak akan menjadi kerajaan. Sekarang kami adalah kerajaan dan manifesto ini menjadi beban yang besar.

“Pada masa itu saya menentang, saya tahu, untuk mengadakan laluan percuma…ia tidak boleh (dilakukan). Satu-satunya cara untuk mengadakan laluan percuma dan tiada tol adalah dengan menaikkan harga petrol,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close