Berita UtamaUtama

‘Kerajaan PH penipu’

Berjanji bulan dan bintang semata-mata untuk menipu rakyat: UMNO

KUALA LUMPUR, 3 Safar 1440H, Jumaat – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didesak mengakui hakikat kegagalan menunaikan janji kepada rakyat seperti yang dicanang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), yang lalu.

Gesaan itu dibuat Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah, susulan kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad   bahawa lebuh raya tanpa tol di Malaysia adalah sesuatu yang mustahil untuk dilaksanakan.

Dr Mahathir juga mendedahkan bahawa beliau sebenarnya tidak bersetuju dengan ikrar lebuh raya bebas tol yang terkandung dalam manifesto pilihan raya PH, malah manifesto itu diwujudkan tanpa memikirkan kemungkinan PH akan menjadi kerajaan.

Justeru, Shamsul Anwar berkata, kenyataan perdana menteri membuktikan bahawa PH sememangnya hanya pandai berjanji bulan dan bintang semata-mata untuk menipu rakyat, sekaligus memburukkan reputasi Barisan Nasional (BN).

“Sebab itu, ketika BN menjadi kerajaan, kita sentiasa berpijak di bumi yang nyata. Telah banyak kali kita ingatkan bahawa PH ketika itu hanya pandai menabur janji kerana bukan mereka yang menjadi kerajaan.

“Ini berbeza dengan BN yang tidak mahu menjadi populis kerana kita tahu kenyataan sebenar. Kalau kita berjanji tetapi kita tidak mampu menunaikan itu maknanya menipu. Kita bukan penipu seperti PH.

“Tapi sayangnya rakyat terlalu percaya kepada gula-gula yang ditaburkan oleh pembangkang ketika itu sehingga membuat pilihan yang salah pada pilihan raya yang lalu. Kini kebenaran terbukti juga,” katanya seperti dilapor portal UMNO Online.

Katanya lagi, PH tidak sepatutnya terus menggunakan helah hutang negara, ekonomi serta menyalahkan aliran atau trend dunia terhadap penarikan modal pelabur asing dan kemerosotan nilai ringgit untuk tidak menunaikan janji mereka.

“Lihatlah sebagaimana janji mengenai PTPTN dan hasrat memansuhkan semua hutang peneroka Felda yang tidak akan tertunai.

“Kerajaan PH ternyata meluruhkan harapan banyak pihak yang mengundi mereka dalam PRU14 lalu. Kita harap akuilah hakikat bahawa kerajaan PH gagal menunaikan janji,” katanya.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close