Berita UtamaDuniaUtama

Jamal Khashoggi: Warga Arab Saudi di luar negara bimbang

Wartawan, aktivis dakwa mereka jadi sasaran pihak tertentu

LONDON, 3 Safar 1440H, Jumaat – Tatkala, kehilangan penulis dan wartawan berasal dari Arab Saudi masih menjadi misteri atau kemungkinan dibunuh, beberapa warga Negara Teluk itu yang tinggal di luar negara, mula melahirkan kebimbangan mengenai keselamatan diri mereka.

Wartawan, aktivis dan beberapa individu terkenal mula meluahkan kebimbangan mereka di dalam media sosial, sejak Jamal Khashoggi ‘hilang’ selepas memasuki Pejabat Konsul Besar Arab Saudi di Istanbul, 2 Oktober lalu.

Presiden Yayasan Kawaakibi – sebuah gerakan pemikir – Iyad el-Bahgdadi dalam beberapa siri Twitter menyatakan kebimbangan mengenai keselamatan dirinya.

Beliau juga menyatakan, walaupun berasa selamat apabila tinggal di Norway, ‘namun tiada siapa yang selamat,’ lalu memaksa beliau mendapatkan nasihat pihak berkuasa Oslo, selepas kes Jamal mula mendapat perhatian dunia.

Katanya, sejak berita mengenai Jamal mula tersebar, akaun Twitter beliau menunjukkan peningkatan jumlah individu yang melihat profil peribadinya dan kebanyakannya adalah dari Arab Saudi.

Wartawan al-Jazeera, Jamal Elshayyal pula menyatakan beberapa artikel yang mengandungi maklumat palsu mengenai dirinya, dipercayai bertujuan menghasut tindakan diambil terhadap beliau, mula tersebar di media sosial, termasuk laman berita Al Arabiya.

Akhbar Saudi Gazette dan Al Arabiya semalam menyiarkan artikel yang menuduh Jamal Elshayyal sebagai seorang daripada tiga individu yang berkempen memburuk-burukkan Arab Saudi.

Laporan kedua-dua akhbar itu menyatakan, Jamal Elshayyal memainkan peranan membuat laporan salah mengenai kehilangan Jamal Khashoggi dan mengaitkannya dengan Ikhwanul Muslimin.

“Ia sangat membimbangkan. Hakikat bahawa seorang wartawan yang terkenal boleh terjebak dalam misi diplomatik dan dibunuh, adalah menakutkan.

“Saya bimbang wartawan, yang sudah disasar oleh rejim autokratik, akan berdepan bahaya yang lebih. Ketika itu bukan sahaja wartawan akan mati, ia akan menjadi kematian kepada kewartawanan itu sendiri,” katanya.

Jamal Khashoggi meninggalkan Arab Saudi tahun lalu, berikutan tindakan kerajaan Arab Saudi di bawah pimpinan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, menangkap individu terkenal, termasuk anak raja, menteri, wartawan, ulama, aktivis dan jutawan, yang tidak sependapat dengan pemerintah.

Beliau adalah bekas Ketua Pengarang Kumpulan Watan dan pernah menjadi penasihat media kepada Putera Turki al-Faisal yang ketika itu menjadi Duta Arab Saudi di London dan Washington.

Jamal hidup di Amerika Syarikat (AS) dan menjadi kolumnis Washington Post, di mana dalam beberapa tulisannya beliau mengkritik polisi Arab Saudi terhadap Qatar dan Kanada, perang di Yaman serta tindakan terhadap wartawan serta aktivis di Arab Saudi.

Beliau yang dilaporkan bakal berkahwin dengan tunangnya seorang rakyat Turki, sebelum itu datang ke Pejabat Konsul Besar Arab Saudi di Istanbul, tetapi diarahkan datang semula pada 2 Oktober lalu, untuk mendapatkan dokumen perceraian isterinya, tetapi dikatakan tidak keluar dari pejabat itu.

Pihak berkuasa Turki percaya Jamal dibunuh di dalam pejabat berkenaan oleh sekumpulan perisik Arab Saudi yang diterbangkan khas dari Riyadh.

Bagaimanapun, Arab Saudi menafikan tuduhan itu dan mendakwa Jamal telah meninggalkan bangunan berkenaan. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close