Berita UtamaUtama

Ganja: Kabinet tangguh hukuman mati graduan

Guna marijuana untuk rawatan penyakit tak patut dihukum mati

PORT DICKSON, 3 Safar 1440H, Jumaat – Kabinet bersetuju menangguhkan hukuman mati yang dijatuhkan ke atas seorang graduan Muhammad Lukman Mohamad, 29 tahun, kerana memiliki, memproses dan mengedar dadah jenis ganja dan minyaknya untuk tujuan perubatan.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, beliau membangkitkan isu itu dalam mesyuarat Kabinet dan hasil perbincangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara konsensus bersetuju hukuman mati itu tidak sepatutnya berlaku.

Katanya, pada masa sama Kabinet bersetuju hukuman mati ke atas Muhammad Lukman ditangguhkan.

“Dalam hal ini ada dua isu. Pertama, hukuman mati secara keseluruhannya akan dimansuhkan dan kedua, pada masa sama penggunaan marijuana untuk tujuan perubatan tidak sepatutnya dihukum dengan hukuman mati,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Pada 30 Ogos lalu, Muhammad Lukman Mohamad, 29 tahun, yang ditahan bersama isterinya yang sedang hamil dalam satu serbuan di rumahnya pada Disember 2015, dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Dia didapati memiliki 3.1 liter minyak ganja, 279 gram ganja mampat dan 1.4 kilogram bahan mengandungi tetrahydrocan nabinol (THC).

Kes itu menjadi tular di laman sosial dan mendapat perhatian netizen kerana Lukman dikatakan menggunakan ganja dalam bentuk minyak untuk tujuan perubatan. Berdasarkan laporan media, Lukman telah memberikan rawatan alternatif kepada tidak kurang daripada 800 pesakit.

Pada masa sama seorang individu, Hisanuddin Zainuddin, memulakan satu petisyen dalam change.org yang meminta Muhammad Lukman dibebaskan dan dikaji semula definisi siapa sebenarnya pengedar, penagih dan pesakit yang memerlukan dadah jenis ganja untuk rawatannya.

Petisyen itu menyatakan, Lukman sebenarnya telah memproses ganja terbabit untuk dijadikan minyak bagi tujuan perubatan, malah sehingga tarikh ditangkap, beliau telah memberi rawatan alternatif ini kepada tidak kurang daripada 800 orang.

Petisyen itu turut mendapat sokongan daripada bekas Menteri Kesihatan United Kingdom, Norman Lamb.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close