Berita UtamaDuniaUtama

Erdogan marah Arab Saudi tak beritahu di mana Jamal berada

Pejabat konsulat mesti miliki peralatan pengawasan yang canggih

ISTANBUL, 3 Safar 1440H, Jumaat – Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan ‘memarahi’ Arab Saudi kerana enggan menyatakan secara terbuka di mana wartawan dan penulis terkenal, Jamal Khashoggi berada.

Menyatakan bahawa kerajaan Arab Saudi mempunyai peralatan pengawasan canggih yang mampu merakam pergerakan Jamal di dalam dan sekitar Pejabat Konsul Besar Arab Saudi di sini, Erdogan berkata:

“Adakah mungkin tidak ada sistem kamera di pejabat konsulat atau kedutaan? Adakah mungkin sistem kamera tidak berfungsi di konsulat Arab Saudi, di mana kejadian berlaku?”.

“Arab Saudi boleh merakam burung atau nyamuk dengan peralatan canggih yang mereka miliki.”

Kenyataan beliau adalah isyarat terbaharu tekanan antarabangsa yang semakin meningkat terhadap kepemimpinan Arab Saudi berikutan keengganan menyatakan kedudukan Jamal sekarang ini, selepas tidak keluar dari pejabat konsulat negara itu sejak 2 Oktober lalu.

Pegawai Arab Saudi sebelum ini, menyatakan Jamal telah meninggalkan pejabat itu selepas urusannya selesai, tetapi tidak mengemukakan bukti.Sementara itu, dalam apa yang dilihat sebagai bantahan terhadap Arab Saudi, akhbar New York Times (NYT) menarik balik penajaan persidangan pelaburan yang dijadualkan bulan ini di Riyadh.

Menambah tekanan kepada Riyadh, akhbar The Washington Post melaporkan, pegawai Amerika Syarikat (AS) mengumpul maklumat risikan yang menunjukkan Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman, memberi kebenaran mengadakan operasi untuk mengumpan Jamal keluar dari rumahnya di Virginia, AS, sebelum menangkapnya.

Pegawai AS mendakwa perisik memintas rancangan Arab Saudi untuk menangkap Jamal. Bagaimanapun, pegawai itu tidak menyatakan sama ada AS memberi amaran kepada Jamal atau tidak berhubung rancangan itu.

Semalam, pegawai Turki menuduh Arab Saudi tidak memberi kerjasama dalam siasatan terhadap kehilangan Jamal, termasuk tidak membenarkan pegawai penyiasat memasuki pejabat konsulat itu, sedangkan Putera Mohammed berkata, pihak berkuasa Turki boleh memasukinya untuk menjalankan siasatan.

“Arab Saudi kelihatan seperti melengah-lengahkannya. Mereka berkata, anda tidak boleh menjalankan siasatan di sini. Anda hanya datang ke sini untuk minum teh dan kami akan membawa anda melihat sekelilingnya.

“Kami perlu memasuki bangunan konsulat itu atau rumah konsul untuk melakukan siasatan,” katanya.

Mengikut Konvensyen Vienna, tuan rumah tidak boleh memasuki perkarangan atau bangunan diplomatik negara luar tanpa kebenaran. – Agensi

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close