Berita UtamaUtama

‘Cukai baharu hanya sempitkan lagi hidup rakyat’

Kerajaan PH patut cari kaedah lain tambah pendapatan negara

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 3 Safar 1440H, Jumaat – Kerajaan diminta tidak membebankan rakyat dengan penambahan sistem percukaian baharu yang tujuannya untuk melunaskan hutang sedia ada berjumlah lebih RM1 trilion.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, cukai baharu yang akan dilaksanakan kerajaan hanya akan menyebabkan rakyat semakin tersepit.

Katanya, kerajaan mesti berusaha mengurangkan beban rakyat kerana ia merupakan sebab utama rakyat memilih kerajaan Pakatan Harapan.

“Dr Mahathir sudah memberikan ‘petanda’ bahawa satu sistem cukai akan diperkenalkan bagi menambah pendapatan kerajaan. 

“Pelbagai spekulasi dibuat mengenai sistem percukaian baru ini. Antaranya termasuklah Cukai Warisan Harta dan Cukai Keuntungan Modal. Semua ini dikatakan bertujuan untuk membayar hutang kerajaan. 

“Jika benar terjadi maka bermakna setiap rakyat akan perlu membayar cukai samada ketika hidup mahupun semasa mati,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, terdapat banyak langkah yang boleh dilakukan untuk menambah pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan negara, selain daripada menambah sistem cukai baharu.

“Dalam teori ekonomi, untuk menstabilkan kedudukan kewangan, sama ada kita tambahkan pendapatan atau kurangkan perbelanjaan. 

“Kalau yang pertama tidak lagi dapat dilakukan maka kerajaan boleh melihat kepada yang iaitu kurangkan perbelanjaan. 

”Ini termasuklah merunding semula semua kontrak-kontrak besar, melepaskan pelaburan yang kurang mendapat pulangan, mengembalikan balik kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), menyatukan kementerian-kementerian yang terlalu banyak, dan sebagainya.

“Pada sama, saya difahamkan 80 peratus hutang kerajaan itu adalah merupakan daripda institusi kewangan tempatan yang mana ia juga dimiliki oleh kerajaan seperti CIMB, MBB dan lain-lain. Jadi sudah pasti ianya boleh dibincang dan di strukturkan semula,” katanya.

Selasa lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, mengumumkan bahawa kerajaan akan mengenakan cukai yang baharu, namun tiada sebarang kata putus yang jelas berkaitan cukai yang mungkin dikenakan.

“Ia salah satu cara untuk kerajaan mengutip hasil. Kami belum putuskan berkenaan cukai baharu ini.

“Ia akan berbeza (dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan) serta lebih meringankan beban rakyat. Sebab itu kita akan cari pelaksanaan cukai terbaik dalam hal ini,” kata Dr Mahathir.

Komentar Facebook
Papar selanjutnya

Leave a Reply

Artikel berkaitan

Close
Close